ISLAM SUDAH PARAH – BOLEHKAH DIBANGUN SEMULA HANYA DENGAN BERCERAMAH DAN BERNASYID?
Kerosakan akhlak, kejahilan dan longgarnya pegangan agama pada generasi kita hari ini sudah sangat meruncing. Sedar tidak sedar, kita telah terlalu lama meninggalkan pakaian asal, sebagai analogi sistem hidup beragama yang dikurniakan Allah dan telah berjaya didakwahkan rasulullah SAW. Masing-masing mencuba-cuba memakai berbagai bentuk sistem kehidupan yang kita tenun sendiri. QS:74/1-5.
Apabila kita kaji dan pelajari pusingan jatuh bangunnya agama dari sejarah nabi-nabi terdahulu, maka tahulah kita bahawa kita memang sudah kembali berada di zaman jahilaiah semula. Itulah juga pesanan Rasulullah SAW tentang jangkaan akhir zaman sebelum wafatnya baginda.
Sejak akhir-akhir ini banyak sekali jenayah dan gejala sosial berlaku terang-terangan di siang hari atau di hadapan orang ramai yang hanya mampu melihat sahaja tanpa mampu berbuat apa-apa. Sistem riba’ yang telah berjaya dihapuskan dahulu pun kini dipermudahkan dan bermaharajalela semula.
Habis belajar sahaja hutang sudah menunggu. Hutang rumah, hutang kereta, hutang peribadi dan sebagainya dipermudahkan untuk menjerat kita. Ramai sekali insan papa yang sanggup berbuat dosa untuk kelihatan kaya. Ironinya, riba’, rasuah dan penipuan itu tidak lagi dirasakan dosanya.
Semakin hari kita jadi semakin kalut dihimpit dengan urusan dunia. Masing-masing berebut-rebut untuk bekerja lebih masa, berniaga sampingan selepas kerja, pulang lewat dan meninggalkan anak tanpa belaian dan pendidikan agama yang sempurna dari ibubapa. Kita suap mereka dengan susu lembu, kita gantikan air tangan emak dengan air tangan bibik atau mamak.
Akhirnya anak-anak juga telah jadi tidak tentu hala. Zahirnya nampak pandai dan cerdik, hidup senang dengan rumah dan kereta mewah, namun jiwanya bergelora. Untuk memuaskan hati dan memujuk mereka, kita bekalkan dengan pelbagai gajet dan duit belanja secukupnya tanpa usul periksa, sampai ada yang tidak tahu menghargainya bahkan sering menyalahguna.
Apabila keadaan sudah kembali jahiliyah begini, maka semua pihak jadi bingung dan tercari-cari akan jalan hidup yang selamat dan menyelamatkan. Itupun masih ada yang mahu tunjuk hebat untuk meneruskan cubaan mencipta jalan hidup sendiri. Walaupun kecundang berkali-kali, namun masih tidak mahu menyerah kalah untuk tunduk kembali merujuk dan menggunakan ‘jalan Allah’ sepenuhnya.
MAHU BERTOLERANSI MENGHIMPUN KEFASIKAN ATAU MAHU SERAH DIRI SEPENUHNYA? (QS:2/208, QS:6/162-163)
Asalnya kita hanya berebut-rebut mengejar laba dunia, iaitu harta, tahta dan wanita (UZZA, LATTA, MANNA). Kini, hiburan dan pelbagai bentuk permainan yang melalaikan pula sudah jadi keutamaan, lalu semakin kurang minat kita terhadap agama. Dalam keadaan begini, ada beberapa pendekatan pembetulan yang menjadi pilihan.
Ada yang berpendapat kita harus bertoleransi. Harus bijak menyalurkan ilmu agama dengan mencampurkan rencah hiburan dan lawak jenaka melalui ceramah.
Ada pula yang suka menghimpun manusia dalam majlis syair agama yang berbagai rupa. Walaupun tanpa memahami suatu apa dari syairnya, namun ini dipercayai boleh mengalihkan tumpuan generasi muda khususnya untuk berada di majlis ilmu.
SEBAHAGIAN LAIN melihat bahawa tindakan sebegini akan mencampur adukkan antara hak dan batil. Ini kerana Allah jelaskan “bukan syair dan ucapan-ucapan tanpa perlaksanaan yang akan membangun agama”. Semua itu adalah kefasikan yang membuatkan umat bertambah keliru mana satukah yang benar-benar hak dan perlu dipegang kemas serta diamalkan betul-betul. (QS: 36/69-70, QS: 69/40-43).
Berbuat sesuatu tanpa ilmu atau menyampaikan sesuatu yang tidak difahami adalah melanggar perintah Allah dan tidak berfaedah (QS:17/36). Mendakwahkan sesuatu tanpa sebarang usaha membimbing, mengapit dan folow-up untuk memastikan setiap pendengarnya faham dan melaksanakan betul-betul semua aturan yang disampaikan juga akan sia-sia, ibarat melepaskan pekerja kilang dengan buku manual tanpa bantuan supervisor dan inspektor.
Allah umpamakan majlis ilmu yang bersulam hiburan sebagai program hu haa sahaja, riuh rendah seperti ‘siulan dan tepukan tangan’. Ia adalah satu kekafiran kerana mencampur-adukkan yang hak dengan yang batil. Setiap sen yang dibelanjakan oleh penganjur atau pendengar juga akan menjadi sesalan belaka.
QS: 8. Al Anfaal (35-40):
35. Solat mereka di sekitar Baitullah itu, lain tidak hanyalah siulan dan tepukan tangan. Maka rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu.
36. Sesungguhnya orang-orang yang kafir menafkahkan harta mereka untuk menghalangi dari jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu, kemudian menjadi sesalan bagi mereka, dan mereka akan dikalahkan. Dan ke dalam Jahannamlah orang-orang yang kafir itu dikumpulkan,
37. supaya Allah memisahkan yang buruk dari yang baik dan menjadikan yang buruk itu sebagiannya di atas sebagian yang lain, lalu kesemuanya dihimpunkan-Nya, dan dimasukkan ke dalam neraka Jahannam. Mereka itulah orang-orang yang merugi.
38. Katakanlah kepada orang-orang yang kafir itu: "Jika mereka berhenti, niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosa mereka yang lalu; dan jika mereka mengulangi, sesungguhnya akan berlaku sunnah orang-orang dahulu ."
39. Dan perangilah mereka hingga tiada lagi fitnah (kecelaruan agama) dan menjadilah agama itu seluruhnya bagi Allah. Jika mereka berhenti, maka sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan.
40. Dan jika mereka berpaling, maka ketahuilah bahwasanya Allah Pelindungmu. Dia adalah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.
Hari ini, fenomena Daie dan Penceramah ala-ala selibriti yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan dipandang seakan-akan satu kebaikan. Program ‘Konsert Cinta Rasul’ juga menjadi satu lesen besar kepada kebejatan yang tersembunyi di belakangnya. Hanya pihak yang terlibat atau mengkaji sahaja yang tahu semua itu.
Kata mereka, daripada menganjur atau mengunjungi konsert liar lebih elok konsert memuji rasul. Benar itu lebih baik sedikit, tetapi adakah ia cukup berkesan untuk mencegah kebejatan generasi pada jangka pendek dan jangka panjang?
MENGENAL DAN MEMPERBAIKI AKHLAK 'HANYA' MELALUI KERJA
Amal kita diperhati dan dinilai Allah, rasul dan para mukmin dari hasil kerja (QS:9/105). Solat yang 25 minit sehari (5 minit x5) itu adalah satu disiplin untuk mendapatkan seruan kerja dan ikrar perlaksanaan kita untuk baki waktu yang 23 jam lagi bagi mencari kurnia Allah.
Apabila Snouck Hurgerunge, yang terkenal dengan Kiyai Palsu Haji Abdul Ghafur masuk menjajah Islam di Nusantara, beliau tuba Islam hanya dengan memisahkan institusi Masjid dengan ilmu praktis atau KERJA. Maka tinggallah masjid yang hanya menjadi sarang kepada ibadah ritual semata-mata. Segala urusan dunia hanya di pejabat dan tempat kerja sahaja katanya. Itu yang Nabi SAW katakan "masjidnya indah tapi kosong dari petunjuk/hidayah".
Sebab itu juga kerajaan Belanda sanggup mengeluarkan bajet untuk membina lebih banyak masjid supaya orang Islam lalai dengan ibadah ritual. Mereka taja ramai ulamak Nusantara mengerjakan haji ke Mekah dengan kapal laut yang memakan masa agak lama serta meninggalkan keluarga. Semuanya dijemput pula ke kedutaan Belanda di Saudi semata-mata untuk dilalaikan dan menyuntik doktrin palsu bagi menjauhkan kita dari praktis Islam yang sepatutnya.
Rasulullah SAW telah bekerja keras untuk mendapatkan wahyu dan membangun Islam itu sendiri. Sebelum ini pernah kami kupas cara bagaimana Nabi Syuib a.s. yang menetapkan ciri ‘kuat bekerja dan boleh dipercaya’ ke atas calun menantunya Nabi Musa a.s.. Baginda telah diuji dengan bekerja selama 8 tahun dan ditambah lagi 2 tahun bersamanya. Selepas tempoh itu barulah Nabi Syuib a.s. mampu menilai hatibudi sebenar menantunya itu.
Dalam sehari dua mungkin masih boleh kita berlakon, tapi tak mungkin secara konsisten selama 10 tahun kita mampu berlakon juga kan?
Anak-anak di RPWP juga kami dedahkan dengan kerja-tangan di waktu senggang dari jadual pendidikan akademik mereka. Dari situ juga kita mampu kenal akhlak mereka. Contohnya, anak yang suka mengelak dari kerja-kerja yang leceh, kotor dan berat akan terbentuk sebagai manusia yang tidak kental dengan cabaran. Anak yang suka curi tulang adalah insan pemalas. Tanpa program KERJA dalam pendidikan mereka, mana mungkin kita mampu mengesan dan memperbaiki sifat buruk ini?
Ada anak yang genius dalam pendidikan, mampu memahami ceramah dan boleh pula berceramah. Tetapi apabila turun bersama-sama waktu bekerja, kami lihat dia kurang kreatif, pemalas dan mudah mengalah. Semua kelemahan itu hanya mampu dikenal melalui kerja, bukan melalui hasil karangan, pidato atau keputusan peperiksaan yang penuh dengan A dan A+ sahaja. Setelah dikesan keburukan itu, baru boleh kita berusaha untuk mencantasnya.
KESIMPULAN
Di RPWP, kami tidak jumud dalam kesenian dan keceriaan. Anak-anak juga kami sediakan dengan peralatan jamming, lengkap dengan drum, gitar elektrik, organ dan sebagainya. Tetapi itu hanya sekadar apresiasi kesenian dan keceriaan dalaman sahaja dan kami kawal ia agar tidak berlebih-lebihan.
Jikalah benar dengan ceramah-ceramah bersulam lawak dan lakunan, juga nyanyian nasyid sahaja sudah mampu membangkitkan Islam yang telah tersungkur lebih seabad ini, sudah pasti Nabi Muhammad SAW dan sahabat telah diriwayatkan menyanyi dan melagukan mesej-mesej dakwah baginda sahaja.
Jika boleh, pastilah Nabi Muhammad SAW sendiri tidak perlu berperang, tidak perlu pikul batu dan ikut membina Masjid Quba’, tidak perlu ikut berlapar, ikut menggali parit dan tidak juga perlu menyerahkan kesemua kekayaan baginda dan isteri tercinta. Tentu baginda hanya berceramah dan menyanyi sahajakan?
Bila ditanya selepas keluar dari tempat ceramah, "Macammana ceramah tadi, OK tak?" biasanya akan dijawab "Bestlah ceramah tu, kelakar". Bukan pelajaran yang meresap tetapi ‘kelakar’ yang setara Maharaja Lawak Mega itu yang menjadi persona utama. Lebih teruk lagi, ilmu yang disampaikan tidak difaham dan diingati, malah mereka hilang punca dalam perlaksanaan ilmu yang sedikit itu.
Da’ie juga banyak dari golongan yang dibenci Allah kerana pandai bercakap tetapi tidak berbuat (QS: 61/2-3). Ada Ustaz yang menyeru manusia bersederhana sedangkan diri sendiri berkereta sport mewah pula. Ada yang menyampaikan ilmu milik Allah, katanya lillah billah, namun ceramah sering dimulakan dengan pesanan agar jangan beli CD ceramahnya yang cetak rompak.
Fikirkan firman Allah yang berbunyi “Mengapa kamu menyeru manusia kepada kebaikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri”. QS:2/44.
Nabi SAW dan setiap nabi-nabi sebelumnya juga telah bekerja keras sesuai dengan perintah Allah. Mereka juga telah menyeru kita bekerja untuk membangun agama. Jika tanpa gerak kerja yang bersungguh-sungguh anda rasa Islam masih boleh dipulihkan semula, yakinlah bahawa semua impian itu hanya TINGGAL MIMPI DAN FATAMORGANA BELAKA.
Ditulis Oleh Warga Prihatin Via Facebook
0 Komentar untuk "Bolehkah Islam Yang Hancur Dibangunkan Semula Sekadar Bernasyid?"