Diari Krismas 25/12/14
Catatan kedua.
==================
Jam 8 pagi kring, kring, kring......
Saya menerima panggilan kecemasan daripada MA Shakri. Klinik kami bagai ribut pabila sang manusia berpusu mendapatkan rawatan.
Jangkaan kami juga tepat. Air bah telah menenggelamkan hampir 70% daratan di Badang. Kini air bah dengan laju menuruni jalan memasuki klinik kesihatan badang dan kawasan keseluruhan kami bakal ditenggelami 90% pabila air laut pula pasang malam ini. Kota Bharu telah lumpuh sepenuhnya.
Pagi tadi sempat menghubungi ayah bonda bertanya khabar. Mudah-mudahan berkat doa ibubapa mampu menyelamatkan kami daripada musibah lebih besar. Kelmarin juga menghubungi isteri menceritakan detik cemas hendak ke klinik kami malam tadi. (Isteri telah selamat bersama anak-anak dipindahkan ke rumah mertua di Semerak minggu sebelum ini)
Kami sedia membantu |
Isteri bertanya mengapa saya tidak menyelamatkan diri ketika peluang ada. Saya berkata tugas saya bukan hanya menyelamatkan diri tetapi yang lebih penting menyelamatkan orang lain kerna itulah cita-cita saya. Moto KKM - 'Kami sedia membantu' adalah aspirasi saya.
Pagi, kami ke pusat pemindahan banjir untuk lawatan kesihatan. Mangsa semakin meningkat seiring dengan paras air di sungai kelantan - 6.84M kini (Bahaya - 5m). Pusat pemindahan di SK Kedai Buloh pula telah dinaiki air paras lutut dan mangsa terpaksa dipindahkan ke tingkat 1 sekolah. Mangsa banjir di Badang telah mencecah hampir 1000 orang tetapi pasukan saya hanya enam orang terus setia memberi rawatan. Kami merawat mana yang mampu.
Land Rover usang yang banyak berjasa kepada penduduk Badang. |
Ada mangsa yang baru berhijrah sambil membawa anak kecil dan menjinjing barang umpama pelarian perang namun hajat mereka tidak dapat dilunaskan kerana kepadatan pusat pemindahan sedia ada. Mereka terpaksa ditempatkan di kawasan lain yang lebih jauh.
Masalah utama di pusat pemindahan adalah keperluan bantal, selimut, tikar dan makanan yang kekurangan. Pihak MKN mengatakan keperluan mencukupi tetapi di mana barang-barang tersebut? Bagai jatuh ditimpa tangga, trak yang membawa muatan bantuan ubat-ubatan dan diesel pula terjatuh lubang di Kg Pauh Binjai. Kini bantuan hampir 5 jam masih belum kesampaian. Stok ubat-ubatan di klinik digunakan semaksimanya. Ada pesakit yang perlu menjalani dialisis tidak dapat dihantar kerana tiada pengangkuatan yang sesuai kerana arus semakin deras.
Pusat pemindahan kami kini telah ditenggelami bah. |
Seorang bayi berusia tujuh hari saya syaki mengalami severe jaundice pabila paras kuningnya telah sampai ke perut dan peha atas. Saya menghubungi pihak NICU HRPZ untuk konsultasi, mereka memohon maaf tidak dapat berbuat apa-apa melainkan meminta ibu meneruskan breastfeeding kerana mereka juga kekurangan fasiliti pabila wad mereka dipindahkan. Kami hanya mampu berserah kepada tuhan untuk pesakit kronik dan kritikal.
Keadaan dijangka parah menjelang malam nanti apabila hampir semua jalan darat digenangi air dan fenomena air pasang memburukkan keadaan lagi. Bekalan air bersih seperti telah terputus. Hanya bekalan elektrik masih ada di sini, itupun jika keadaan parah maka nasib kami akan seperti Kuala Krai - bergelap tanpa cahaya bulan.
Air deras menenggelami klinikku |
Saya merayu anda untuk teruskan menyumbang ke mana-mana tabung banjir pantai timur. Juga titipkan doa agar kami selamat dan tabah mengharungi musibah yang Maha Esa.
Oh ya, saya ingin mengucapkan selamat bercuti kepada perdana menteri kita di Hawaii sementara cuti kami semua telah dibekukan dan berkorban nyawa demi rakyat tercinta.
Ikhlas,
Dr Afiq Rahim - DAR
Pegawai perubatan Badang yang hampir 'Burnout'.
--------------------------------------------------------------------------------
PENDEDAHAN EKSKLUSIF KISAH SURVIVAL KLINIK BADANG DILANDA BANJIR "BAH MERAH 2014" OLEH DR.AFIQ RAHIM
>>> CATATAN 1
>>> CATATAN 2
>>> CATATAN 3
>>> CATATAN 4
>>> CATATAN 5
>>> CATATAN 6
>>> CATATAN 7
>>> CATATAN 8
>>> CATATAN 9
>>> CATATAN 10
>>> CATATAN 7
>>> CATATAN 8
>>> CATATAN 9
>>> CATATAN 10
0 Komentar untuk "EKSKLUSIF : Kisah Survival Klinik Badang Dilanda Banjir "Bah Merah 2014" Oleh Dr.Afiq Rahim - SIRI 2"