Desas-desus daripada media sosial dan alternatif yang memaparkan berita tidak benar berkaitan rombakan Exco termasuk Timbalan Menteri besar Kerajaan Negeri Kelantan amat dikesali kerana membuka ruang fitnah dan menjadi pertanyaan kebanyakan pembaca facebook serta blog.
Kenyataan yang yang mengaitkan YAB Ustaz Dato’ Ahmad Yakob selaku Menteri Besar Kelantan dalam membentuk Exco Kerajaan Negeri selepas PRU ke-13 dalam tempoh 48 jam sebagaimana yang didakwa oleh pihak tertentu dalam laman sosial adalah tidak benar sama sekali. Berita yang hanya dikutip dijalanan turut mendedahkan bahawa barisan Exco yang telah dilantik tidak berfungsi termasuk YB Timbalan Menteri Besar juga akan turut sama ditukar oleh YAB Menteri Besar adalah berita dan desas-desus yang tidak berasas serta fitnah kepada barisan Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Sepatutnya maklumat berkaitan pentadbiran Kerajaan Negeri hendaklah dirujuk dahulu melalui sumber berautoriti Kerajaan Negeri Kelantan.
Islam dengan keras melarang sama sekali mengambil berita tanpa di selidik apatah lagi terus menerima berita dan desas-desus tersebut lalu disebarkan kepada khalayak. Berita persinggahan dan jalanan ini biasanya dilakukan oleh orang fasik dan peringatan hal ini ditegaskan oleh Allah dalam maksud firman-Nya :
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada golongan lain tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. ( Al-Hujurat : 6 )
Mohd Asri Mat Daud
Setiausaha Akhbar kepada YAB Ustaz Dato’ Menteri Besar Kelantan
10 Safar 1436 / 3 Disember 2014
0 Komentar untuk "Desas-Desus Rombakan Exco Exco Adalah Tidak Benar"