Gerimis Sendu
27/12/14 - 22o0H
Catatan ke-7
===============
Hujan dan gerimis di siang hari kadangkala memberi kegusaran kepada kami. Banjir sedikit surut di sebelah petangnya namun kerana lokasi kami di muara sungai Kelantan maka kami berkemungkinan penutup episod duka dan malang dalam sejarah negeri Darul Naim. Selagi Kuala Krai,Tanah Merah tidak surut maka kami akan terus ditenggelami air dan dideritakan lagi dengan fenomena air laut pasang.
Mangsa banjir terus meningkat di Kelantan. Di Kota Bharu sahaja mangsa mencecah hampir 25,000 orang di berpuluh pusat. Pusat-pusat pemindahan sesak dan padat hingga mangsa baru tidak dibenarkan menduduki pusat banjir sedia ada. Maka mereka terpaksa mencari alternatif menduduki sekolah yang tidak diwartakan sebagai pusat banjir dengan mengharungi air sedalam paras pinggan bersama anak kecil membimbit peralatan masing-masing.
Pesakit beratur mengambil ubat |
Di Badang sahaja, jumlah mangsa mencecah 4000 orang dan mereka hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bekalan makanan kami di sini hanya mampu bertahan sehingga malam ini. Begitu juga diesel untuk kegunaan tentera dan pasukan kesihatan yang semakin surut ke dasar tangki.
Hari ini saya seharian di pusat pemindahan. Tiga pusat pemindahan kami di tenggelami air menatijahkan penyakit bawaan air seperti taun dan kulit yang saban hari meningkat terutama di kalangan anak-anak kecil.
Keadaan sanitasi yang teruk, banjir dan kesesakan manusia di kawasan padat adalah kombinasi yang dahsyat untuk impending cholera outbreak dan juga penyakit berjangkit lain seperti Batuk kering/TB dll.
Pesakit mengharung banjir bersama anak kecil untuk mendapatkan rawatan di hospital badang. |
Kami perlukan bekalan air bersih untuk memasak dan pengurusan diri.
Kami sangat-sangat memerlukan bantuan makanan, air bersih dan diesel di sini. Tiada jalan darat yang dapat menghubungkan kami. Hanya bantuan daripada udara.
Semasa dalam perjalanan ke SK Semut Api untuk pemantauan kesihatan di sana, kami berselisih dengan trak tentera. Mereka memberitahu, trak mungkin boleh keluar kerana air sudah surut sedikit namun kami mempunyai masalah baru iaitu jalan runtuh akibat arus deras. Kami tetap juga terputus hubungan dengan dunia luar.
Pemantauan kesihatan di Kem Kijang. Kiri gambar adalah Dr Haza, MA Shakri dan JM Zufariza |
Saya memaklumkan situasi semasa kami kepada bilik gerakan tentera dan kesihatan. Bantuan akan tiba dengan helikopter namun sehingga petang saya tidak mendapat sebarang berita pengesahan tentang bantuan tersebut walaupun saya melihat beberapa helikopter yang melintas di ruang udara kami. Terdapat beberapa NGO yang menghubungi saya namun apabila saya mengatakan bahawa bantuan perlu disalurkan dengan helikopter, mereka tidak mampu berbuat apa-apa.
Koordinasi bantuan juga sangat teruk. Terdapat pusat pemindahan yang langsung tidak mendapat bantuan. Jika ada pun, terlalu banyak ketirisan sebelum sampai ke tangan sepatutnya. Penduduk di sini terpaksa mengais untuk survival dengan menangkap ikan dan bermacam cara lagi. Kami di hospital Badang juga hanya berlaukkan sardin, ikan goreng dan nasi putih sejak bencana berlaku. Itu pun syukur teramat. Di daerah lain sehingga ada mangsa mengemis memohon makanan sambil mengharungi air paras dada untuk keluarga. Bahkan ada ibu yang mengendong anak kecil di bahunya ke hospital saya bertanya di mana mereka boleh mendapatkan bekalan makanan.
"Nikmat tuhanmu yang mana kamu dustakan" - Ar- Rahman.
Suasana pusat di siang hari. Dewan di Kem Kijang ini mempunyai 3 tingkat dan jumlah mangsa di sini adalah 2240 orang. |
Pagi tadi seorang pakcik mengharungi banjir paras dada semata-mata untuk ke hospital saya kerana bekalan ubat darah tingginya kehabisan. Jalan ke kampungnya telah runtuh dan banjir pula berarus deras. Mujurlah beliau sempat ke sini dan mendapatkan rawatan. Penduduk semakin terdesak. Mereka terpaksa berusaha sendiri kerana pihak penyelamat sudah hampir lelah melaksanakan tugas mereka tanpa rehat yang cukup dan masih terus bekerja.
Di sebalik kepiluan itu, penduduk di sini bagai berpicnic di sebelah petangnya dengan bermandi manda dengan penuh keseronokan. Wajah-wajah anak kecil bagai tiada apa yang berlaku tetapi di minda mereka ini adalah pesta air paling besar dalam hidup mereka. Namun di wajah ayah dan ibu terselit kegelisahan di sebalik senyuman mereka. Apakah nasib mereka selepas ini? Hanya tuhan yang tahu.
Meredah banjir ke pusat pemindahan. Pesta air sedang berlangsung ketika ini. |
Banjir sedikit mengenggelamkan pusat pemindahan di Kem Kijang. |
Sebentar tadi saya menerima berita bahawa helikopter untuk memindahkan pesakit buah pinggang tahap akhir saya ke HUSM terpaksa ditangguhkan. Pesakit saya sudah tidak boleh bertahan lagi. Dia perlu didialisis segera. Dia mencari alternatif sendiri dan sanggup mengambil risiko meredah banjir dan sungai ke airport kota bharu untuk menerima rawatan dialisis di Johor.
'Bateri' saya juga semakin low hingga kadangkala menulis surat rujukan boleh tertidur. Begitu juga pasukan saya. Sehingga pada sesetengah waktu jika tiada pesakit, hospital kami ibarat banglo kosong kerana semua orang mengambil port merehatkan diri. Saya sehingga kini bersyukur kerna Dr Haza daripada PKD Bachok yang juga wakil PAPISMA Kelantan sudi berkorban meninggalkan anak kecil di rumahnya membantu saya di pusat kesihatan kami.
Bencana adalah peringatan Allah kepada kita untuk kita bersama bermuhasabah. Teruskan menderma dan berdoa. Kita hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan.
Salam Perut Keroncong
Ikhlas,
Dr Afiq Rahim, DAR
--------------------------------------------------------------------------------
PENDEDAHAN EKSKLUSIF KISAH SURVIVAL KLINIK BADANG DILANDA BANJIR "BAH MERAH 2014" OLEH DR.AFIQ RAHIM
>>> CATATAN 1
>>> CATATAN 2
>>> CATATAN 3
>>> CATATAN 4
>>> CATATAN 5
>>> CATATAN 6
>>> CATATAN 7
>>> CATATAN 8
>>> CATATAN 9
>>> CATATAN 10
>>> CATATAN 7
>>> CATATAN 8
>>> CATATAN 9
>>> CATATAN 10
0 Komentar untuk "EKSKLUSIF : Kisah Survival Klinik Badang Dilanda Banjir "Bah Merah 2014" Oleh Dr.Afiq Rahim - SIRI 7"