adsense Isteri Terpelajar Universiti Tetapi Masuk Dapur? Kolotkah Itu? - Media Yang Hensem

Isteri Terpelajar Universiti Tetapi Masuk Dapur? Kolotkah Itu?



Artikel ini saya tulis dengan penuh emosi kerana ia melibatkan orang yang rapat dan saya kenali. Ayah dan arwah ibu saya mungkin bukan orang terpelajar. Emak sekolah curi-curi intai dari tepi tingkap sampai darjah tiga dan tidaklah sampai ke peringkat pandai membaca, hanya sekadar kenal huruf jawi juga huruf rumi tapi tidak pandai membaca sampai hari terakhir arwah emak di dunia. Ayah pula belajar sampai darjah 6 tapi bukanlah seorang pelajar yang baik kerana telahpun bekerja di ladang kopi dari umur 7 tahun lagi. 

SOAL PILIH JODOH / MENANTU 

Kalau nak ketawa, silakanlah tapi ayah dan arwah emak saya mengamalkan cara tradisional dalam memilih menantu. Ada 2 kriteria utama yang akan dilihat secara keutamaan pada nombor 1 kemudian yang ke-2. Ibu bapa mana yang tak mahu anaknya bahagia. Kriteria pertama kami 4 beradik lelaki akan memperkenalkan pasangan pilihan kami pada ibu bapa kami dahulu. Kes isteri saya, selepas sudah bertunang barulah dapat diizinkan ibu mertua saya untuk bawa isteri saya ke Pahang untuk diperkenalkan pada ibu bapa saya. Alhamdulillah, kriteria pertama dan kedua menepati dan ibu saya sangat sayang dan selesa sekali dengan calon isteri pilihan saya. 

Kriteria pertama ialah BERTUDUNG. Walaupun isteri saya bertudung litup, saya pernah juga argue pada ibu bapa saya, terima sahajalah calon yang saya bawa walaupun tidak bertudung, boleh jadi hidayah akan sampai selepas berkahwin nanti. Rupanya, kini saya sedar dan saya silap. Rasionalnya ialah, jika seseorang yang bertudung itu adalah satu gambaran luaran sebelum mengenali hati budi bahawa bertudung itu adalah ciri-ciri seorang wanita yang menjaga kehormatannya dan pastinya selepas berkahwin akan terus menjaga kehormatannya juga maruah suaminya. Secara rasional, pastinya ibu bapa saya tidak mengenali calon isteri yang saya pilih kecuali dinilai dari pandangan pertama. Di sini isteri saya Alhamdulillah melepasi kriteria yang diberi. Bukan sekadar bertudung, pakaiannya juga tidaklah ketat sehingga menampakkan susuk tubuh dan tudungnya pula tidaklah seperti tudung Siti mahupun "Kak Rosmah" kita.

Walaubagaimanapun, sebelum itu, calon isteri yang abang saya bawa tidak menepati kriteria ini. Ibu dan ayah saya tetap positif untuk mempertimbangkan kriteria kedua iaitu...PANDAI MEMASAK.Kakak ipar saya yang gagal menepati kriteria pertama masuk ke peringkat ke-2 dan Alhamdulillah, kakak ipar saya memang seorang wanita yang pandai memasak.

Saya juga pernah argue perkara ini. "Alaa emak dan ayah ni, orang sekarang semua dah ada kerjaya, makan dan minum semua kat kedai jer yang penting hidup cukup makan sudah lah".Ayah saya menjawap "Nanti engkau tahu lah..." dan tidak mengulas panjang. Rupanya kini saya faham, jika calon isteri yang dipilih itu pandai memasak, pastinya telah didik untuk memasak dan memenangi hati Si Suami. Jika untuk survival, saya tak fikir ada wanita yang akan memasak sendiri kecuali berada di luar negara, itupun kerana tiada pilihan. Maka dengan itu, kriteria kedua ini hanyalah satu petanda bahawa seorang calon isteri itu telah dididik untuk mengurus rumahtangga. Selebihnya seperti kerja mengemas rumah, mengasuh anak itu pastinya akan dinilai dari cara memasak, penyusunan, kebersihan dan juga susunan rasa yang dicipta dalam makanan itu sendiri.

Kakak Ipar saya berjaya dapat A untuk ini. Sementara isteri saya pula tidak diuji di peringkat ke-2 ini kerana telah lulus cemerlang di peringkat pertama. Cuma sekadar emak dan ayah mengusik mesra mengatakan "Saiful ni suka makan kat rumah, dia tak suka makan kat luar...Intan kenalah memasak nanti"

Intan : Gulppp.... (Senyum sahaja)

Saya : (Senyum jer dalam hati berkata...perlu ke nak memasak?) 

Isteri saya orang terpelajar. Sekolah tinggi sampai ke peringkat Ph.D di universiti terbaik dunia di Cambridge University, United Kingdom. Dalam hati saya, saya kurang percaya dan bukanlah satu keperluan untuk saya katakan isteri saya perlu memasak untuk saya nanti selepas berkahwin. Selepas kami berkahwin, selama setahun dapur kami hanya berasap ketika ibu dan ayah saya datang melawat. Arwah emak yang masakkan. Isteri saya tak memasakpun dan emak cuma sekadar mengusik sahaja..."Abang Saiful ni kurus jer dia, Intan kena masak ni bagi dia gemuk sikit" (Padahal ketika itu saya dah masuk dalam kategori awal overweight dah). Saya kurang teliti maksud sebenar kata-kata itu hanya sekadar menganggap itu satu gurauan sahaja.

Selepas ibu saya menghembuskan nafas terakhir, barulah saya sedar antara satu perkara yang paling besar saya hilang ialah masakan airtangan seorang ibu. Sehingga kini saya masih merasakan masakan ibu sayalah yang terbaik dan saya terfikir, apabila isteri saya nanti "pergi" apakah masakan itu tidak langsung menjadi satu ingatan anak-anak saya nanti jika kami meneruskan makan di luar sahaja. Chef ternama dunia yang masakannya pernah saya rasai kehebatannya masih belum dapat menawarkan rasa segar lidah saya memakan masakan arwah ibu yang telah lama pergi. 

Selepas dari itu, saya membuat keputusan untuk mengurangkan makan di luar. Lalu, SAYA SENDIRI MEMASAK di rumah. Isteri saya setuju untuk saya memasak dan isteri saya akan mengemas. Kerana saya memasak memang style mamak. Ketung ketang ketung ketang....siap. Tapi dapur dan singki memang sangat huru hara saya buat. Selepas beberapa kali saya memasak di rumah, isteri saya mula turun tangan menolong memotong bawang dan menyediakan bahan. Tidak lama selepas itu, isteri saya mula mengambil inisiatif apabila saya mula lihat beliau mula memuat turun banyak resipi-resipi masakan dari internet. Itu sudah satu petanda bagus. Satu hari, saya pulang kerja saya lihat "DR. INTAN SALWANI, PH.D Cambridge University, Chem. Eng." (Jangan ingat ini nak tayang, tapi sekadar jadi contoh atau analogi golongan yang terpelajar) memasak di dapur. Saya tersenyum dan saya bangga dengan beliau. Masih lagi saya terasa lazatnya gulai MASIN yang beliau masak dan saya dengan senyuman terus memuji..."Sedapnya you masak...kalau hari-hari macam ni, i boleh jadi obes". Selepas beberapa hari isteri saya memasak. Saya bertanya..

"Intan, u masak ni pasal u sayang kat i kan?". Isteri saya menjawab..."Semestinya lah, tapi satu lagi kerana kalau u masak, dapur bersepah i kena buat kerja lebih dari i sendiri yang masak" 

Saya : (Senyum...walaupun disindir).

Alhamdulillah, sudah lebih 5 tahun kami berkahwin, dan 50% makanan yang masuk dalam perut kami sekeluarga adalah adunan rasa yang dimasak oleh isteri saya sendiri di sebalik kesibukan kerja beliau sebagai seorang pensyarah kanan di UPM. Juga sibuk dengan urusan anak-anak dan kini mengandung anak kami yang ke-3 saya tahu itu semua satu yang kurang praktikal untuk isteri saya lakukan. Saya berkompromi dan tidak pernah memaksa isteri saya memasak untuk kami sekeluarga sekiranya beliau memang tidak larat. Tapi saya hormatinya semangatnya, kerana isteri saya masih menggagahkan diri untuk terus berkhidmat sebagai seorang ORANG DAPUR YANG TERPELAJAR. Juga seorang CIKGU untuk anak-anak saya dan bayaran yang saya berikan hanyalah mencurahkan kasih sayang tidak berbelah bahagi pada isteri dan anak-anak kami. 
 
Sudah lebih 5 tahun, dengan kesibukan isteri saya juga tidak pernah pula saya memakai baju kemeja tidak diseterika atau pakai baju yang sama dan tidak berbasuh pada dua hari berturut-turut. Jarang sangat hari yang saya balik kepenatan di rumah tiada segelas air sejuk dihidang. Walaupun hanya air sejuk, rasanya sangat manis dengan senyuman isteri yang menghidangkannya. Semuanya diuruskan dan perkhidmatan isteri saya pada saya dan anak-anak adalah satu pengorbanan besar dan saya secara patut pasti akan membalas pengorbanan itu dengan pengorbanan dari diri saya sendiri untuk terus menyayangi isteri saya dan keluarga saya. Alhamdulillah, Kami saling berbagi kami saling faham memahami. 

Saya minta maaf jika anda yang kurang sependapat dengan saya, tapi saya rasakan kasih sayang saya pada isteri saya kini jauh lebih hebat berbanding pada tahun pertama kami berkahwin. Saya seronok bila anak-anak menjerit dan melonjak seronok bila CHEF peribadi kami mengumumkan akan memasak menu kegemaran anak-anak kami. Saya sering mahu menitiskan airmata kerana saya melihat diri saya sendiri pada anak-anak saya apabila arwah ibu saya dahulu mahu memasakkan menu yang saya sukai. Saya masih terasa ia hanya berlaku semalam sahaja bila saya dijamu makanan kegemaran saya setiap kali saya balik ke rumah bercuti dari sekolah berasrama. Saya mula faham mengapa ibu dan ayah saya begitu menitik beratkan perkara ini. Jika memasak itu dapat diaturkan, disiplin dalam pemasakan itu juga membentuk rumahtangga ibu bapa kami.

Ibu dan bapa saya seumpama timur dan barat yang tidak sehaluan dalam banyak perkara. Mereka bertengkar hampir setiap hari tetapi tidak pernah sehingga ibu saya meninggal, ayah meninggalkan ibu saya tidur bersendirian. Gaduh, merajuk dan memujuk semuanya berlaku apabila ibu saya tetap tidak melupakan tanggungjawab memasak dan ayah saya akan balik semula dan berbaik di meja makan kami. 

Sesibuk mana pun saya, saya sentiasa cuba meluangkan makan malam dan sarapan bersama sekeluarga. Saya kini jelas dan faham mengapa dahulu orang-orang lama meletakkan 2 kriteria di atas dalam memilih pasangan hidup. Rupanya ia bukanlah mengada-ngada tetapi ia masih praktikal pada zaman moden sekarang ini. 

Betul orang tua berkata, pikat hati suami, menangilah perutnya dahulu. Ia kelihatan kelakar tetapi tidak sama hasil airtangan orang yang memikirkan laba dan untung berbanding penyediaan makanan yang dibuat secara terbaik oleh seorang ibu untuk anak-anak dan suaminya yang semuanya dimasak dengan teliti. Tidak perlu nasi tangas, tidak perlu pizza hut, tidak perlu makan di restoran mahal...jika ia datang dari orang yang kita sayang, makanan masin pun enak dikunyah. 

Saya kembali pada fahaman tradisional orang lama. Saya kurang pasti anda juga begitu.  Jika saya masih lagi segar dan masih terasa di lidah mengunyah makanan ibu yang telah lama pergi, anak-anak saya juga pasti akan merindui masakan ibunya TIDAK KIRA SEJAUH MANA MEREKA BERADA nanti.

Makanan bukanlah satu perkara besar, tetapi ia seakan-akan satu pengikat kasih dalam rumahtangga. Semasa saya menaip ini, saya sedang merasakan kehebatan airtangan hidangan isteri walau hanya segelas air sejuk dan ada juga yang telah berumahtangga lama tetapi tidak pula merasakan apa yang saya rasakan. Rumahku, syurgaku. 

Terima kasih ibu dan ayah yang telah memberikan kami satu pelajaran hidup yang sangat besar ertinya setelah pelajaran itu saya laluinya sendiri dan merasainya sendiri. Walaupun ayah dan emak tidak terpelajar, pada hari ini saya tetap bangga dengan emak dan ayah. Saya bangga dibesarkan oleh emak dan ayah walaupun dalam keadaan serba miskin, tetapi emak dan ayah tak pernah miskin kasih sayang. Sekarang apabila saya tanyakan kembali kenapa 2 kriteria itu jadi keutamaan, ayah minta saya jawap sendiri. Jika sudah mampu menjaga diri dan kehormatan diri pasti pandai menjaga maruah suami, pasti pandai menjaga suami. Jika suruhan Allah boleh dipatuhi, taat kepada suami juga adalah salah satu suruhan Allah yang seorang isteri perlu buat disamping solat dan puasanya, selebihnya isteri boleh ke syurga dengan mana-mana jalan yang dimahukan. Jika kriteria pertama BELUM dipenuhi, kriteria ke-dua menandakan isteri sudah bersedia untuk memberi perkhidmatan pada suaminya sebagai isteri yang taat. Pasti jika suaminya seorang yang beriman, kriteria pertama akan mudah diikuti jika itu dari seruan Si Suami. Contoh terdekat ialah kakak ipar saya sendiri yang lantas bertudung kerana suami (Abang sulong saya) mahukan aurat isterinya menjadi tatapan ekslusif beliau dan muhrimnya sahaja. 

Ada logiknya dan sangat-sangat logik untuk difahami. Kini baru saya fahaminya mengapa orang tua berfahaman sebegitu tradisional. Rupanya ia untuk mewujudkan satu suasana syurga dalam rumahtangga dengan anak dan isteri menjadi bidadari-bidadarinya.  

Jika anda rasa artikel ini baik untuk anda kongsikan. Jangan segan jangan malu...klik sahaja LIKE dan SHARE kan sahaja pada orang yang anda rasa baik untuk anda berkongsi.

Salam bahagia semua. 

Ditulis Oleh Saiful Nang via Facebook
0 Komentar untuk "Isteri Terpelajar Universiti Tetapi Masuk Dapur? Kolotkah Itu?"

BORAK-BORAK HENSEM



POST BARU DAN PANAS !!!

- POLITIK FITNAH SEMAKIN MENJADI-JADI ANTARA PAS & UMNO DI MUSIM BANJIR !!! >>> KLIK
- GEMPAR !!! BUNUH DIRI KETIKA BANJIR AKIBAT TERTEKAN !!! >>> KLIK
- PENDEDAHAN !!! BENARKAH INI PESAWAT AIRASIA QZ8501 YANG DIKATAKAN TERHEMPAS ??? >>> KLIK
- KELU !!! TEAM SUKARELAWAN MAKLUMKAN RAMAI YANG TERKORBAN AKIBAT LEMAS !!! >>> KLIK
- SAYA BERMAIN GOLF DENGAN OBAMA DEMI DIPLOMASI NEGARA, NAJIB >>> KLIK
 
Copyright © 2014 Media Yang Hensem - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info