adsense Jangan Salah Gunakan Agama Untuk Bisnes ! Dr. Maza - Media Yang Hensem
Lazada Malaysia

Jangan Salah Gunakan Agama Untuk Bisnes ! Dr. Maza


JANGAN SALAHGUNAKAN AGAMA UNTUK BISNES
Islam adalah matlamat yang dituju, bukan alat yang dipergunakan. Malangnya dalam masyarakat hari ini, banyak keadaan menunjukkan Islam itu tidak lebih daripada alat yang dipergunakan. Islam dipergunakan untuk keuntungan peribadi, perniagaan, politik dan lain-lain. Islam diperlakukan oleh sesetengah pihak bagai pelaris jualan. Atau Islam dibuat bagaikan saluran media untuk mengiklan barang. Islam ditampal dalam aktiviti kehidupan sesetengah pihak bukan kerana kecintaan kepada Islam, tetapi kerana itu boleh mempengaruhi orang ramai.

Ini samalah dengan seorang tuan kedai yang menggantungkan ayat-ayat al-Quran di dinding kedainya untuk menarik perhatian pelanggan semata. Padahal dia tidak pun berpegang kepada isi kandungan ayat yang digantung. Islam yang menuntut agar bersih dan jujur dalam perniagaan, tidak pun dilakukannya. Bahkan lebih teruk lagi, mungkin dia tidak bersolat, berpuasa dan perkara-perkara asas yang lain sebagai seorang muslim. Namun dinding kedainya dipenuhi ayat al-Quran. Maka ayat al-Quran itu bukan pegangan hidupnya, tetapi alat yang dipergunakan untuk kepentingan dirinya. Bukan sedikit orang yang seperti tuan kedai itu dalam masyarakat kita. Mungkin bidang kepentingan dan caranya berbeza-beza, tetapi perbuatan mengeksploitasikan agama itu adalah sama.

Gambar Sekadar Hiasan

USTAZ PRODUK
Saya kurang bersetuju apabila ada syarikat produk tertentu yang melantik penceramah-penceramah agama sebagai duta produk mereka. Bimbang nanti para penceramah ini akan berceramah ke sana sini menggunakan nas-nas agama itu dan ini untuk dikaitkan dengan produk yang dia didutakan. Jadilah agama mainan ‘golongan peniaga’ dalam mempengaruhi orang awam. Hadis-hadis yang entah daripada mana asalnya, atau yang tidak sahih dikeluarkan untuk melariskan produk. Orang awam yang jahil akan terpengaruh. Kadang-kala nas yang digunakan itu benar, tetapi dieksploitasikan. Umpamanya al-Quran memang menyebut tentang kelebihan madu seperti firman Allah: 

وَأَوْحَى رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ (68) ثُمَّ كُلِي مِنْ كُلِّ الثَّمَرَاتِ فَاسْلُكِي سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلًا يَخْرُجُ مِنْ بُطُونِهَا شَرَابٌ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ فِيهِ شِفَاءٌ لِلنَّاسِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَةً لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

(maksudnya) “Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah peraturan Tuhanmu yang dimudahkannya kepadamu". (dengan itu) akan keluarlah daripada perutnya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda bagi orang-orang yang mahu berfikir. (Surah al-Nahl: ayat 68-69).

Ayat ini adalah umum, tidak dikaitkan dengan mana-mana produk tertentu. Maka janganlah digunakannya untuk dikhususkan kepada syarikat tertentu, padahal sudah ribuan tahun manusia meminum madu dan menikmati manfaatnya, sebelum syarikat-syarikat hari ini wujud. Namun, apabila lidah penceramah agama berkempen untuk produk tertentu, maka jelaslah bahawa dia telah mengeksploitasikan agama untuk memajukan poketnya, bukan mendaulatkan agamanya. Jika dia ingin berkempen orangramai meminum madu, silakan!. Ayat tadi pun berkempen untuk itu. Tetapi hendaklah secara umum, bukan berkepentingan sesuatu produk sahaja.

Daerah dakwah itu hendaklah menjadi daerah yang bersih dari kepentingan peribadi. Masalahnya, apabila masyarakat kita ada ramai penceramah yang bermodalkan agama, kurang pula yang menjadikan agama adalah matlamat dalam dakwah, maka beginilah jadinya. Sebab itu barangkali, Nabi s.a.w membersih masjid dari sebarang perniagaan, seperti sabda baginda s.a.w: 

إِذَا رَأَيْتُمْ مَنْ يَبِيعُ أَوْ يَبْتَاعُ فِى الْمَسْجِدِ فَقُولُوا : لاَ أَرْبَحَ اللَّهُ تِجَارَتَكَ

“Jika kamu melihat seseorang menjual atau membeli di masjid, maka katakanlah: Allah tidak akan menguntungkan perniagaanmu.” (Riwayat al-Tirmizi, sahih).


EKSPORT PAHALA
Seperti biasa, apabila datang bulan puasa, atau ada kematian, akan ada pihak membuat duit dengan mendakwa mereka boleh menghasilkan pahala berbayar yang akan eksport kepada si mati ke alam barzakh. Ini dengan cara membayar wang kepada mereka yang berzikir atau membaca al-Quran yang dipanggil ‘tahlil’ khas yang berbayar. Maka ramailah ‘tekong’ yang melimpah luah wang pada bulan puasa ini hasil daripada tempahan pahala orang ramai yang hendak dihantar kepada kaum keluarga mereka yang telah meninggal.

Pahala yang ditempah itu, kelihatannya lebih laris dari kueh dan baju raya. Seperti mana orang kaya pada hari raya akan lebih mewah dengan kueh dan baju yang tempah, barangkali hari ini ada yang menganggap mereka juga akan begitu mewah di akhirat dengan pahala-pahala yang dibayar dan dihantar ke akhirat untuk digunakan di sana bagi mendapatkan syurga. Maka, barangkali ramailah yang akan menganggap nanti bahawa mereka tidak perlu banyak amalan untuk masuk syurga, tetapi perlu banyak duit kerena pahala boleh dibeli di dunia dan dikirim ke sana. Sehingga yang terbaru pahala itu boleh ditempah secara online.

Malangnya, oleh kerana yang berniaga pahala ini terdiri daripada kalangan golongan agama, maka banyaklah pula nas-nas yang dieksploitasikan untuk memastikan perniagaan pahala itu berjalan lancar. Digunakan kenyataan ulama dahulu dan sekarang, sehingga orang ramai yang jahil tidak dapat membezakan antara maksud sebenar para ulama itu dan ‘bisnes’ mereka pada hari ini. Ya, memang terdapat perbezaan pendapat tentang sampai ataupun tidak bacaan pahala kepada si mati. Namun, pihak yang menyatakan sampai tidak pernah membenarkan ‘menjual pahala’ kepada si mati dengan bayaran seperti yang dibuat pada hari ini.


Di sini saya petik apa yang disebut dalam kitab akidah yang terkenal dan dianggap rujukan penting kesarjanaan Islam iaitu Syarh al-Tahawiyyah oleh Ibn Abi al-Izz al-Hanafi (meninggal 792H) yang merupakan salah seorang penyokong pendapat yang menyatakan bacaan al-Quran sampai kepada si mati, katanya: “Ulama berbeza pendapat (mengenai sampai atau tidak kepada si mati) ibadah badaniyyah; seperti puasa, solat, bacaan al-Quran dan zikir. Pendapat Abu Hanifah dan majoriti salaf ia sampai. Apa yang masyhur dalam Mazhab al-Syafi’i dan Malik tidak sampai” (m.s 458). Seterusnya beliau menyebut: “Adapun mengupah orang untuk membaca al-Quran dan dihadiahkan kepada si mati, ini tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun di kalangan ulama salaf. Tidak pernah disuruh atau diberi kelonggaran oleh mana-mana sarjana agung dalam agama ini. Tanpa sebarang perbezaan di kalangan ulama; mengupah untuk pahala bacaan adalah tidak dibolehkan. Apa yang mereka berbeza mengenai keharusan upah adalah dalam bab mengajar al-Quran dan yang sepertinya; di mana manfaatnya sampai kepada orang lain. Pahala tidak akan sampai kepada si mati melainkan amalan itu ikhlas kerana Allah. Perbuatan upah itu adalah tidak ikhlas. Maka tiada pahala untuk dihadiahkan kepada si mati. Maka jangan ada yang menyebut bahawa dia menyewa orang untuk berpuasa atau bersolat lalu dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Namun, jika dia memberi kepada sesiapa yang membaca al-Quran; mengajar dan belajar sebagai bantuan kepada ahli al-Quran, ini termasuk dalam sedekah, maka harus…jika dia berwasiat agar diberikan bahagian daripada hartanya kepada sesiapa yang membaca al-Quran di kuburnya, maka wasiat itu batil kerana termasuk dalam jenis upah…jika dia menentukan wakaf untuk sesiapa yang membaca al-Quran di kuburnya, maka penentuan itu batil. Namun jika dia membaca al-Quran dan menghadiahkannya secara suka rela tanpa upah, maka ia sampai kepada si mati seperti mana sampainya pahala solat dan haji (m.s. 463-464, tahqiq: Ahmad Syakir, Riyadh: Wizarah al-Syuun al-Islamiyyah).

Inilah pendapat mereka yang bersetuju menyatakan ia sampai, bukan seperti yang diekspoitasikan. Jika nak cari yang sokong ambil upah memang ada, seperti mana ustaz yang kaki hisap rokok tentu menyatakan rokok makruh, walaupun seluruh fatwa antarabangsa; ulama dan para pakar kesihatan menyatakan ia haram.



KERANA PULUS
Lebih penting daripada itu, apa yang ditegaskan oleh insan yang tidak boleh dipertikaikan ucapannya, iaitu Rasulullah s.a.w:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ وَسَلُوا اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى بِهِ فَإِنَّ مِنْ بَعْدِكُمْ قَوْمًا يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ يَسْأَلُونَ النَّاسَ بِهِ

“Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan).

Di samping di sana terdapat ramai sarjana, termasuk al-Imam al-Syafi’i sendiri yang menganggap bacaan al-Quran tidak sampai pahalanya kepada si mati. Tokoh tafsir al-Quran yang agung, al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) ketika menafsirkan firman Allah s.w.t dalam Surah al-Najm, ayat 39: (maksudnya) “Dan sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”, beliau menyebut: “Maksudnya, seperti mana seseorang tidak menanggung dosa orang lain, demikian dia tidak mendapat pahala melainkan apa yang diusahakannya sendiri. Dari ayat yang mulia ini al-Imam al-Syafi’i dan sesiapa yang mengikutnya membuat kesimpulan bahawa pahala bacaan al-Quran tidak sampai kepada si mati kerana itu bukan amalan dan usaha mereka. Justeru itu, Rasulullah s.a.w tidak pernah menggalak, atau menyuruh atau menunjukkan umatnya kepada perkara tersebut samada secara nas yang jelas, atau isyarat. Tidak pernah diriwayatkan seorang pun dari kalangan sahabah r.ahum yang berbuat demikian. Jika itu sesuatu yang baik, tentu mereka telah pun mendahului kita melakukannya. Bab ibadah khusus hanya terbatas dalam lingkungan nas semata, tidak boleh diubah-ubah dengan berbagai kias dan pandangan. Adapun doa dan sedekah, maka itu disepakati sampai pahala keduanya kepada si mati kerana dinaskan oleh syarak”. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/328, Beirut: Muassasah al-Rayyan).

Apa yang saya risaukan, perkara ini akan memberikan gambaran yang salah orang ramai termasuk bukan muslim kepada Islam. Mereka akan menganggap syurga itu boleh dijual beli berdasarkan kekayaan dan upah dari kroni-kroni yang masih hidup. Hilanglah kehebatan nilai perjuangan dan pengorbanan para pejuang Islam yang terkorban dan dikorbankan dalam memperolehi syurga, jika pahala ke syurga itu boleh dibayar atau ditempah.
0 Komentar untuk "Jangan Salah Gunakan Agama Untuk Bisnes ! Dr. Maza"

BORAK-BORAK HENSEM



POST BARU DAN PANAS !!!

- POLITIK FITNAH SEMAKIN MENJADI-JADI ANTARA PAS & UMNO DI MUSIM BANJIR !!! >>> KLIK
- GEMPAR !!! BUNUH DIRI KETIKA BANJIR AKIBAT TERTEKAN !!! >>> KLIK
- PENDEDAHAN !!! BENARKAH INI PESAWAT AIRASIA QZ8501 YANG DIKATAKAN TERHEMPAS ??? >>> KLIK
- KELU !!! TEAM SUKARELAWAN MAKLUMKAN RAMAI YANG TERKORBAN AKIBAT LEMAS !!! >>> KLIK
- SAYA BERMAIN GOLF DENGAN OBAMA DEMI DIPLOMASI NEGARA, NAJIB >>> KLIK


 
Copyright © 2014 Media Yang Hensem - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info