Walaupun lagu Apa Khabar ciptaan Joe Flizzow dan Sonaone diangkat sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29), lagu Romancinta dendangan kumpulan Mojo bersama Caliph Buskers tetap menjadi juara di hati penonton pada malam kelmarin.
Ternyata percaturan komposer Edry Abd Halim menampilkan vokalis cacat penglihatan, Azmi Saat, 28, dan kumpulan Caliph Buskers itu menjadi kerana persembahan mereka bukan saja mendapat 'standing ovation' barisan juri, tetapi lebih 15,000 penonton yang membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil turut terkesan dengan persembahan bertenaga mereka.
Justeru, tidak hairanlah, persembahan mereka diangkat sebagai Persembahan Terbaik pada malam itu serta berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000.
Secara peribadi, Edry mengakui dia mendapat idea untuk menampilkan Caliph Buskers selepas menyaksikan persembahan kumpulan pemuzik Orang Kurang Upaya (OKU) itu di depan pusat beli-belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, baru-baru ini.
"Saya jatuh hati selepas menonton persembahan mereka ketika mendendangkan lagu Romancinta dengan baik ketika itu.
"Secara kebetulan, kumpulan Mojo memang berdepan dengan masalah vokalis untuk membuat persembahan lagu Romancinta dan saya terus terfikir menampilkan Caliph Buskers untuk beraksi di pentas AJL29.
"Selepas berbincang, mereka juga bersetuju menyahut cabaran di pentas akhir AJL29 ini. Alhamdulillah, rezeki juga berpihak pada mereka kerana menyanyi dengan ikhlas malam ini," katanya.
Ditanya perancangan untuk Caliph Buskers, kata Edry, pihaknya memang ada perancangan untuk mengetengahkan kumpulan itu selepas ini.
"Buat permulaan, saya merancang untuk menghasilkan single untuk mereka dulu. Jika ada sambutan, pihak kami merancang untuk menampilkan album berkonsep 'buskers' pula nanti," katanya.
Dalam pada itu, Azmi berkata, dia terharu dan 'takut' apabila diberi peluang oleh Mojo untuk menyanyikan lagu Romancinta di AJL, namun lega apabila banyak dibantu anggota Mojo.
"Menyanyi di AJL pastinya berbeza kerana sebelum ini saya hanya nyanyi di jalanan saja. Biasanya saya tahu siapa penonton saya, tetapi di AJL saya tidak tahu berapa ramai yang menonton. Saya cuma mendengar penonton menjerit-jerit.
"Saya hanya tahu penonton sukakan persembahan kami selepas diberitahu Edry sebaik persembahan tamat," katanya yang sudah setahun 'busking' di sekitar Kuala Lumpur.
Azmi berkata, dia memang minat menyanyi dan 'busking' sejak dulu.
"Saya memang suka menyanyi. Suara saya ini anugerah Tuhan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar turut melihat tindakan Mojo menampilkan Caliph Buskers di pentas AJL29 juga bijak dalam mengetengahkan bakat dalam bidang nyanyian.
"AJL adalah pertandingan lagu bersama artis dan komposer. Kita juga mempunyai ramai pemuzik berbakat seperti 'buskers' atau penyanyi jalanan di luar sana," katanya yang turut menyampaikan hadiah kepada barisan pemenang pada malam itu.
Malam Joe Flizzow dan SonaOne
Kekuatan lagu dan lirik Apa Khabar ciptaan Joe Flizzow dan SonaOne berjaya menawan hati barisan juri sekali gus sepakat menobatkan lagu genre hip hop sebagai juara AJL29 serta membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai berjumlah RM50,000 dan trofi.
Julung kali mara ke pentas AJL, tuah nampaknya menyebelahi Joe yang memilih untuk berkolaborasi dengan SonaOne menerusi lagu Apa Khabar.
Berkongsi kemenangannya pada malam itu, Joe yang sudah 15 tahun berkecimpung dalam muzik rap berkata, dia juga tidak menyangka lagu dendangannya itu muncul juara pada malam itu.
"Kemenangan lagu ini juga diluar jangkaan kami kerana pada mulanya lagu ini juga hampir tidak jadi dimasukkan dalam album Havoc.
"Saya juga dapat inspirasi buat lagu ini ketika bulan Ramadan. Bagi saya, lagu ini sangat 'personal' kerana sepanjang tempoh lima hingga enam tahun, saya cuba lari dari topik dikaitkan dengan isu Too Phat dan lagu Apa Khabar adalah cara saya untuk meluahkan isi hati kepada semua," katanya.
Apa Khabar berjaya menewaskan 11 lagu lain iaitu Gilalah (Stacy), Gadis Jolobu (Datuk Hattan & Waris), Malaikat (Hazama), Romancinta (Mojo), Lelaki (Najwa), Matahari (Hafiz Suip), Di Pintu Syurga (Dayang Nurfaizah), Rentak Laguku (Bunkface & Amy Search), Sesal Separuh Nyawa (Alyah) dan Percayalah (Indah Ruhaila).
Naib Juara AJL 29 juga berpihak kepada lagu Masih Aku Cinta dendangan penyanyi Shila Amzah dengan membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai bernilai RM35,000.
Sementara itu, persembahan 12 finalis AJL 29 diadili ketua juri, Azmeer dan dibantu sembilan juri profesional iaitu Datuk Mokhzani Ismail, Datuk Siti Nurhaliza, Aubrey Suwito, Faizal Tahir, Acis, Loque, Cat Farish, Azlan Abu Hassan dan Moots (Pop Shuvit).
Vokal Terbaik milik Dayang
Selepas sekian lama tidak bertanding dalam AJL, penyanyi popular Dayang Nurfaizah berjaya membuktikan kehebatan vokalnya masih sukar digugat artis muda ketika ini.
Kehebatan vokalnya cukup menyerlah serta memukau juri dan penonton ketika menyampaikan lagu Di Pintu Syurga sekali gus diangkat sebagai pemenang Vokal Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM12,000 dan trofi.
Malah, ketua juri, Azmeer sendiri mengakui Dayang sudah membuktikan dirinya adalah penyanyi yang mempunyai 'pitching' yang terbaik ketika ini.
Bagaimanapun, lagu Di Pintu Syurga ciptaan Tam (Spider) dan lirik oleh Wartawan Metro Ahad, Rudy Imran Shamsudin atau nama komersilnya Iman Imran memenangi tempat ketiga AJL29 dan membawa hadiah wang tunai RM20,000 dan trofi.
Ketika ditemui, Dayang berkata, dia tidak kecewa walaupun lagu Di Pintu Syurga tidak diangkat sebagai juara AJL29 seperti jangkaan ramai.
"Sebagai penyanyi, tanggungjawab saya hanya pastikan yang terbaik setiap kali buat persembahan. Justeru, saya, Tam dan Rudy berasa sangat bersyukur bila lagu Di Pintu Syurga mara ke peringkat akhir dan seterusnya meraih tempat ketiga di pentas AJL29," katanya.
0 Komentar untuk "Caliph Buskers Cetus Fenomena Di AJL29, Standing Ovation Dari Para Juri Dan 15,000 Penonton !!!"