Sebaik sahaja menjejak kaki di bumi Kuala Krai, kami segera pecahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil untuk menyusur kampung dan bersilaturrahim dengan mangsa banjir. Ada yang berjalan kaki, ada yang menunggang motosikal dan ada yang menggunakan pacuan 4 roda.
Tujuan utama ialah untuk kenal mengenal, menjalin hubungan kasih sayang dan mengenalpasti keperluan mereka untuk cuba kami bantu secara khusus.
Kami cuba hadkan agar tidak mengganggu mereka selepas jam 12 malam kerana jam 1 pagi kami semua harus berkumpul semula untuk membincangkan gerak kerja pada hari esoknya. Begitulah rutin harian kami selama berada di sana. Setiap peserta hanya dapat tidur sekitar 2-4 jam sahaja sehari.
Dalam hujan sewaktu berjalan kaki menyusur kampung Tualang, 7 Januari lalu kami terlihat sebuah kemah terpencil dengan remang-remang cahaya lilin. Kami dekati cahaya lilin itu untuk bersilaturahim dengan 'penghuninya'. Pakcik Abu Bakar Said, 60 bersama isterinya adalah sepasang warga emas yang sedang berlindung dari hujan dan kegelapan malam di bawah kemah itu.
Beliau adalah seorang bekas tentera dan kini bekerja mengambil upah menoreh getah di kampung itu. Alhamdulillah kehadiran kami disambut baik dan ramah mesra. Ditakdirkan beliau dari pasukan yang sama dengan salah seorang co-founder kami yang juga bekas pegawai tentera.
Sedih mendengar kisah beliau menyelamatkan diri di saat air naik dan arus menggila. Mereka juga melihat sendiri rumah dan seluruh isinya dihanyutkan air dengan linangan air mata. Kereta kancil dan motosikal tuanya juga hanyut. Kini mereka tinggal sehelai sepinggang.
Dalam pada ramai menceritakan kisah kerakusan golongan yang rakus mengumpul bantuan banjir, beliau pula hanya meminta minyak masak sahaja apabila ditanya apa bantuan yang diperlukan.
Subhanallah, begitu tinggi sekali ketabahan dan maqom redha warga emas ini. Namun kami sedih kerana beliau terpaksa berjaga malam untuk mengelakkan barang bantuan yang ada ditangan daripada dicuri oleh manusia yang tidak berhati perut.
Terima kasih kepada penduduk yang telah mengejutkan beliau dari tidur sehingga sempat menyelamatkan diri. Tanpa pertolongan Allah melalui penduduk kampung, nasib mereka mungkin amat buruk sekali kerana air naik terlalu cepat.
Beliau telah banyak menyertai misi bantuan banjir semasa menjadi tentera. Namun seumur hidup beliau tidak pernah melihat kenaikan air secepat ini dan pusaran air serta derasnya arus banjir yang amat menakutkan seperti ini.
Semuga Allah pelihara Pak Bakar dan isterinya, dikurniakan kesihatan dan ketabahan dalam menjalani ujian yang amat getir ini.
TONTON VIDEO :
TONTON VIDEO :
WARGA PRIHATIN — at Kampung Tualang, Kuala Krai.
Post by Warga Prihatin.
0 Komentar untuk "Sayu...Kisah Di Sebalik Khemah, Deraian Hujan & Cahaya Lilin Mangsa Banjir Kelantan... (VIDEO)"