Bermula dengan hanya berdakwah melalui laman sosial Facebook dan Instagram miliknya, baru-baru ini Adam Corrie mendedahkan bahawa dia telah berjaya menarik kira-kira 15 indidvidu bukan Islam untuk memeluk agama itu sejak dia bergelar mualaf pada Julai 2007.
“Alhamdulillah, setakat ini ada sudah 15 orang saya berjaya bantu untuk memeluk agama Islam. Ramai terbuka hati menerusi dakwah yang saya lakukan di laman sosial Facebook dan Instagram. Saya selalu memuat naik status tentang Islam, ia hanya status yang mudah dan semua umat Islam tahu”
“Seperti potongan ayat-ayat Al-Quran yang memberi makna tentang kebaikan dan Islam itu mudah. Daripada situ ramai yang bukan beragama Islam memberi mesej secara peribadi bertanyakan lebih lanjut tentang Islam,” ujarnya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Adam berkata, dia dalam proses menjalankan projek ibadah umrah bersama golongan mualaf yang tidak berkemampuan dan projek yang sudah diusahakan selama dua tahun itu akhirnya bakal dilaksanakan pada 10 Jun depan bersama 25 jemaah dari Perkim.
“Projek ini sudah dua tahun saya usahakan, namun banyak sangat rintangan terutama dalam hal dana dan penaja. Dulu saya pernah kena tipu juga, mereka kata ingin taja 40 jemaah, namun akhirnya diam tanpa sebarang mesej.
“Kali ini, pelakon Adi Putra banyak menolong cari dana dan penaja untuk 25 jemaah, Insya-Allah jika tiada halangan kami akan berangkat menunaikan umrah pada 10 hingga 21 Jun depan,” ujarnya yang kini masih mencari dana untuk duit perbelanjaan jemaah di tanah suci. (rtky/s)
0 Komentar untuk "Adam Corrie Berjaya Menarik 15 Orang Memeluk Islam Hanya Dengan Berdakwah Melalui Media Sosial"