Kehidupan ini bukan segala-galanya politik untuk kita menggadaikan segala adab dan kesopanan hanya kerana politik. Insan itu walau apapun kelemahan peribadinya, tetapi dia sepatutnya memiliki ketertiban dan kesopanan pergaulan yang diwarisi samada dari agama ataupun budaya.
Bahkan dalam Islam, dalam medan perang yang saling bunuh membunuh itu pun, adab dan akhlak yang baik dipertahankan. Disiplin mesti dipatuhi. Dalam hadis:
“Apabila Rasulullah s.a.w. mengirimkan pasukan tentera maka baginda bersabda: “Keluarlah kamu (medan jihad) dengan nama Allah, perangilah di jalan Allah sesiapa yang kufur dengan Allah. Jangan kamu melanggar perjanjian, jangan kamu mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu rosakkan mayat, jangan kamu bunuh kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat”. (Riwayat Ahmad, kata Ahmad Muhammad Syakir: “Sanad hadith ini hasan”).

Nilai pejuang rakyat itu apabila dia dapat mendisiplinkan dirinya dan menghiasi diri dengan budi dan sopan yang menyebabkan rakyat menjadikannya ikutan. Justeru itu, kawalan diri sekalipun di hadapan musuh yang hendak membunuh antara nilai peradaban yang diajar oleh Islam.
Apakah politik kita ini lebih buruk dari medan perang darah sehingga kita hendak berlebih-lebihan dalam tingkah perangai dan budi. Kita jangan lupa apa yang Nabi s.a.w bersabda: “Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Orang politik lupa, pengikut yang ‘kurang ajar’ dan tidak beradab itu hari ini mereka biadap dengan musuh politik mereka, esok kebiadapan itu akan dihalakan pula kepada orang yang disokong pada hari ini.
Paling masalah apabila setiap pihak cuba bertindak membalas keburukan dengan keburukan. Jika kita berikan nasihat ‘mengapa awak londeh seluar dan tunjuk kemaluan kepada gambar pemimpin tertentu’, maka akan ada yang menjawab ‘mereka lagi teruk, ada macam-macam lagi yang mereka pun buat’.
Demikianlah puak-puak politik itu saling menghalalkan tindakan masing-masing atas nama keburukan lawan mereka. Apa yang pelik dalam masa yang sama masing-masing mendakwa mereka lebih baik dari lawan mereka.
Malangnya, apabila tiba masalah budi perangai, masing-masing memakai piawai yang setaraf dengan pihak lawan ataupun lebih teruk lagi. Itu belum lagi datang ‘geng agama’ parti masing-masing yang akan mengeluarkan dalil untuk menghalalkan perangai buruk anggota dan penyokong masing-masing. Dalil agama dibaca bukan mengikuti kehendak Tuhan, tetapi kehendak parti!
Oleh Dr.Maza
================================================================
================================================================
Post by DrMAZA.com.
0 Komentar untuk "Politik Bukan Segalanya"