adsense Raging Yang Bermanfaat - Media Yang Hensem
Lazada Malaysia

Raging Yang Bermanfaat

Ketika saya melaporkan diri bekerja pada tanggal 10 Disember 1999, kebetulan tarikh tersebut jatuh dalam bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan selalunya pesakit tak ramai yang datang ke klinik gigi. Sudah menjadi suatu pandangan umum, orang ramai merasa tak selesa nak berurusan dengan doktor gigi dalam keadaan berpuasa.

Walaupun ianya tak membatalkan puasa, tapi itulah hakikatnya pegangan ramai orang. Ruang masa yang berharga tanpa banyak beban tugas memberikan kesempatan untuk saya membiasakan diri dengan persekitaran kerja dan memahami selok belok tugasan seorang pegawai pergigian dengan lebih baik.

Kerana masih belum mempunyai rumah sewa di sekitar Kuala Terengganu, saya berulang-alik memandu Proton Iswara putih dengan plat nombor TQ 8111 dari Kampung Bukit Tanah ke klinik setiap hari. Perginya sebaik selesai solat subuh dan pulangnya menjelang senja ketika hampir waktu berbuka puasa.

Selepas sahaja cuti Aidilfitri, bermulalah tugas yang sebenarnya dengan cabaran hakiki. Waktunya, ketika ditugaskan di bahagian pesakit luar. Seorang dari kami pegawai-pegawai pergigian diberikan tugas secara bergilir-gilir untuk merawat pesakit di Unit Pesakit Luar. Rakan-rakan sejawat yang lain samada ke sekolah untuk program rawatan pergigian sekolah atau menyelesaikan temujanji dengan pesakit.

Klinik Air Jernih Kuala Terengganu adalah Klinik Pergigian Besar yang menjadi tumpuan utama bagi masyarakat di sekitar Kuala Terengganu.

Di bahagian pesakit luar selepas cuti hari raya, barulah realiti suasana sebenar bekerja saya hadapi. Pesakit berpusu-pusu datang. Lelaki perempuan, tua, muda, dewasa dan kanak-kanak. Ya Allah! Ramainya... Macam-macam latar belakang.

Seingat saya, pada hari pertama tersebut, bilangan pesakit mencecah lebih 90 orang. Semua ini perlu diselesaikan rawatannya dari jam 8:00 pagi sehingga 1:00 tengah hari dengan seorang sahaja doktor bertugas sambil dibantu staf-staf sokongan.

Saya kerja tanpa makan dan minum secara terus menerus selama hampir 5 jam. Tambahan pula ketika itu, saya belum terima gaji. Duit pun tak berapa ada. Kira puasa 6 Syawal lagi baik.

Sepuluh orang pesakit dipanggil secara berturut-turut. Semua mereka diberikan injection atau ubat bius seorang demi seorang sehingga cukup 10 orang. Yang dah kena inject, tunggu di luar dulu. Kemudian dipanggil semula seorang demi seorang untuk dicabut gigi mereka.

Rawatan-rawatan lain seperti tampalan, gigi palsu dan cucian akan diberikan tarikh temujanji untuk pesakit datang mendapatkan rawatan pada hari yang ditentukan dalam appointment. Hanya kes-kes yang perlu disegerakan sahaja diberikan rawatan ketika sesi rawatan pesakit luar.

Ketika ini saya sangat berharap agar semua pesakit yang mari adalah robot yang tak ada hati dan perasaan. Sebabnya, hati kecil kita nak layan mereka semua selayaknya dengan mesra dan bersabar atas segala macam karenah. Tapi etika ini adalah suatu yang mustahil untuk dipraktikkan. 90 pesakit dalam masa lima jam bermakna purata 18 pesakit perlu dirawat dalam masa sejam atau sekadar lebih kurang 3 minit sahaja waktu yang dapat diperuntukkan untuk seorang pesakit. Begitulah kalau ikut kira-kira matematik walaupun realiti di alam nyata adalah berbeza sama sekali.

Tentunya ia akan menjadi satu layanan yang extra cepat dan tak berapa mesra. Mohon maaf adik kakak yang tentunya mengharapkan sesuatu yang lebih baik dan memuaskan.

Cabut gigi pula bukannya semua kerja mudah. Bila ada kes yang agak payah dan rumit, semua yang lain akan tergendala. Pendingin hawa dalam klinik tak lagi dirasai kedinginannya. Berpeluh dalam kesejukkan. Peluh sejuk yang mengalir membasahi kemeja jalur made in Baghdad yang saya pakai. Berdiri sepanjang hari membuatkan kaki yang tersarung kasut kulit buatan Baghdad terasa lenguh
Nasib baik gigi orang Iraq terutamanya orang Arab Badwi yang biasa saya cabut dulu jauh lebih kuat dari gigi orang Malaysia. Kiranya saya boleh senyum lagi.

Ini bukan raging atau sesi buli tetapi secara positif ia adalah pengalaman mahal yang sangat bermanfaat untuk membiasakan kita menyelesaikan kerja dengan cepat, efektif, mesra dan selamat.

‘Selamat’ satu kalimah penting bagi seorang doktor. Bukan sahaja keselamatan pesakit, tetapi juga keselamatan diri sendiri dan keselamatan kakitangan sokongan yang ada bersama.

Pesakit yang datang, memang sebab utama kerana mereka ada masalah pergigian, tetapi kita tak tahu sejarah lampau kehidupan mereka. Kalau kita tanya, majoriti pesakit akan jawab bahawa dia tak ada apa-apa masalah kesihatan tetapi apakah semua jawapan itu jujur?

Sebab itu kena ada trick dalam mengajukan soalan. Contohnya, “Adakah Encik pernah masuk hospital?”

Kalau jawapannya pernah masuk, kita tanya soalan seterusnya, “Berapa lama di hospital? Rawatan apa yang dibuat?”

Atau kita tanya, “Ada tak ambil apa-apa ubat?” Kalau jawapannya, ada! Soalan seterusnya boleh ditanya, “Sudah berapa lama ubatan tersebut diambil?”
Dengan ini, sedikit demi sedikit kita dapat mengajak pesakit menceritakan dengan jujur hal keadaan sebenar kesihatan mereka.

Walaupun kita perlu bekerja dengan cepat dan cekap, ada perkara yang tidak boleh kompromi terutamanya apabila mengadap pesakit yang mengidap penyakit berjangkit seperti hepatitis B dan Aids. Mereka memerlukan perhatian dan kaedah khusus. Apatah lagi rawatan pergigian mendedahkan kita kepada air liur dan darah pesakit yang merupakan antara medium jangkitan.

Kita merawat orang bukan bermakna dengan mengorbankan diri sendiri serta kakitangan lain.

Pengalaman Oleh DrAzman Ibrahim
0 Komentar untuk "Raging Yang Bermanfaat "

BORAK-BORAK HENSEM



POST BARU DAN PANAS !!!

- POLITIK FITNAH SEMAKIN MENJADI-JADI ANTARA PAS & UMNO DI MUSIM BANJIR !!! >>> KLIK
- GEMPAR !!! BUNUH DIRI KETIKA BANJIR AKIBAT TERTEKAN !!! >>> KLIK
- PENDEDAHAN !!! BENARKAH INI PESAWAT AIRASIA QZ8501 YANG DIKATAKAN TERHEMPAS ??? >>> KLIK
- KELU !!! TEAM SUKARELAWAN MAKLUMKAN RAMAI YANG TERKORBAN AKIBAT LEMAS !!! >>> KLIK
- SAYA BERMAIN GOLF DENGAN OBAMA DEMI DIPLOMASI NEGARA, NAJIB >>> KLIK


 
Copyright © 2014 Media Yang Hensem - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info