KHARKIV: Bangkai pertama pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 tiba di Pengkalan Tentera Udara Belanda di Gilze-Rijen, selatan Belanda pada Selasa.
Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) memaklumkan, konvoi beberapa trak yang membawa serpihan bangkai pesawat itu dari Ukraine, dijangka tiba pukul 9 malam waktu Malaysia.
Wakil Majlis Keselamatan Belanda, Anneke Bovens memaklumkan konvoi itu meninggalkan Ukraine pada minggu lalu.
Ia bergerak menggunakan laluan Poland dan Jerman sebelum sampai ke Belanda.
Konvoi akan melepasi waris dan ahli keluarga apabila ia sampai nanti. Seterusnya, pihak DSB akan meneruskan siasatan dengan membentuk semula bangkai pesawat itu.
Kerja- kerja mengumpul semula serpihan bangkai pesawat itu selesai dilakukan bulan lalu, empat bulan selepas nahas berlaku.
Usaha itu berdepan kesulitan akibat pertempuran antara tentera Ukraine dan puak pemisah hingga memaksa pasukan penyiasat antarabangsa menangguhkan aktiviti mereka.
Sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab menembak jatuh M17 pada 17 Julai lalu yang mengorbakan 298 penumpang dan anak kapal.- Astro
0 Komentar untuk "Bangkai pesawat MH17 dijangka tiba di Belanda malam ini"