BANJIR TERBESAR
MasyaAllah, sedih dan amat pilu melihat senario banjir kali ini. Dari gambar-gambar yang dipaparkan jelas dilihat kesukaran, ancaman keselamatan dan kemusnahan harta benda yang bukan sedikit. Semua mangsa tidak ada masa untuk memikirkan harta benda. Untuk menyelamatkan diri dan kaum keluarga juga sudah amat sukar sekali.
Sebahagian dari bangunan tinggi tempat berlindung juga dilapurkan tenggelam. Peristiwa di Sekolah Manik Urai antara yang sangat menyayat hati. Melihat gambar dan video yang memaparkan rintihan mangsa tidak mampu menahan linangan air mata. Mahu membantu kita tiada upaya. Beberapa hari mereka hidup tanpa bekalan makanan. Mangsa di tingkat empat terpaksa minum air lumpur.
Akhirnya keadaan telah memaksa seorang demi seorang mangsa nekad untuk lari ke bukit-bukit dengan sampan hanya sehelai sepinggang. Tanpa makanan dan tempat berteduh selain payung dan kanvas. Bekalan letrik dan api jauh sekali. Makan pun sekadar pucuk pucuk dan ubi seadanya. Ada yang terkandas mengadu berlindung di reban kambing. Ada yang meminta bantuan orang asli untuk sedikit bekalan ubi. Anak kecil menangis kelaparan dan kesejukan tidak henti-henti. Jangan cerita yang sakit, yang nak melahirkan, OKU dan warga emas. Subhanallah..
Banjir tahun ini dikatakan jauh lebih teruk dari banjir tahun 67 dan 71 dahulu. Ada saudara mara yang mengesahkan itu berdasarkan tanda aras banjir paling teruk yang arwah datuknya tandakan setiap kali ia berlaku. Jumlah penduduk yang dipindahkan melebihi 100,000 (setakad 5.17pm ini sudah 120k). Ia dikatakan sebagai sejarah banjir terburuk negara ini oleh berita arus perdana.
Berita dari kaum kerabat di Kelantan ada yang berbagai rupa. Sebahagian melapur air mulai surut Alhamdulillah. Sebahagiannya melapur air bertahan, manakala sebahagian lain melapurkan air semakin naik. Ini ada kemungkinan air di hulu yang turun ke muara menyebabkan air di kawasan itu naik.
Apapun, amaran hujan lebat dan angin kencang dan kemungkinan gelombang ke 3 sebelum gelombang ke dua ini surut menjelang 28-30 Disember ini oleh Jabatan Meteorologi juga amat membimbangkan.
DOA DAN SERUAN BANJIR
Warga Prihatin banyak menerima rintihan dari pembaca terutamanya minta diwarwarkan ancaman dan kesukaran pada kaum keluarga mereka yang terperangkap. Misi utama ketika ini ialah menyelamat dan menyalurkan apa sahaja bantuan makanan dan keperluan harian. Ramai juga yang sarankan agar kami anjurkan satu misi bantuan dengan segala kekuatan yang ada.
Kami mohon maaf kerana kami tidak dapat memenuhi permintaan untuk misi penyelamat atas banyak sebab. Pertamanya seluruh kekuatan tenaga yang sedikit ini amat diperlukan untuk menguruskan majlis perkahwinan anak kami yang berlangsung semalam. Keduanya kerana keadaan yang tidak menentu, khususnya perhubungan darat yang hampir lumpuh sepenuhnya dan arus amat deras. Kami pula tiada peralatan dan kepakaran untuk mengharung air seperti boat besar atau bas amphibia.
Semasa banjir sedang melanda ini kami hanya dapat menyalurkan doa dan munajat kepada Allah dan seruan bantuan sesama manusia. Telah beberapa kali kami syurokan pelan bantuan untuk sanak saudara di sana. Malam tadi telah kami putuskan untuk mengatur misi bantuan kemanusiaan peringkat kedua, iaitu selepas banjir surut. Sementara itu SaifulNang telah kami amanahkan untuk menghubungi pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat.
Antara langkah yang telah dibuat termasuklah membuat satu posting khas menyeru agar semua pihak yang mengetahui ada mangsa dan saudara mara yang masih terperangkap dan belum sempat ditolong agar kongsikan maklumat di posting itu. Pada masa yang sama kami seru pihak jiran dan keluarga berdekatan yang masih ada hubungan internet dan telefon agar tidak jemu-jemu, tanpa putus asa memaklumkan kedudukan mangsa yang tepat kepada pasukan penyelamat sehinggalah mangsa dapat diselamatkan dengan apa cara sekalipun.
KESIMPULAN
- Samada anda orang biasa, jiran tetangga ataupun anggota penyelamat, ambillah sedikit masa untuk meneliti maklumat yang diberi oleh orang ramai. Mungkin mangsa masih berada di dalam jangkauan bantuan anda, samada anda berada hampir dengan mereka atau anda ada kekuatan tersendiri. Paling tidak mohon gunakan kemudahan telefon dan internet untuk salurkan maklumat. Mungkin sebahagian mereka juga kaum kerabat terdekat dengan anda.
- Poskan apa sahaja bentuk maklumat, khasnya rakaman video dan gambar yang berkaitan dengan alamat lokasi yang tepat jika anda adalah mangsa atau kerabat yang terdesak memerlukan bantuan segara.
- Mohon anda yang kenal mangsa atau tahu lokasi yang dimaklumkan itu memanjangkan kepada pihak penyelamat serta mengatur langkah mengikut kemampuan sendiri untuk menyalurkan bantuan apa sahaja.
- Kami hanya akan mengumumkan bantuan peringkat kedua, iaitu misi kemanusiaan selepas banjir surut. Antaranya ialah bantuan tenaga untuk membersih dan memperbaiki rumah yang hanyut atau rosak, khususnya bagi membantu warga emas, anak-anak yatim dan ibu tunggal, dan mereka yang tidak berkemampuan. Telah kami putuskan dan sedang mengatur langkah perlu termasuk mendapatkan maklumat yang tepat. Bagi anda yang ingin bersama RPWP berkampung di Kelantan Terengganu juga amat dialualukan. InsyaAllah akan diumumkan nanti.
- Banyak sekali misi bantuan dari terlalu banyak pihak. Ramai yang bertanya sejauh mana dapat dipastikan yang itu adalah pihak yang ikhlas dan pasti tidak menyelewengkan bantuan yang diberi. Kami tidak dapat memastikan dan mengesahkan semua itu. Nasihat kami ialah anda pilihlah organisasi yang ANDA KENAL RAPAT samada petugasnya atau kredibiliti organisasinya dari senarai yang banyak itu.
- Mohon panjang-manjangkan nasihat dan seruan ini agar lebih banyak wacana dapat disediakan melalui maya untuk membantu mereka yang terdesak sekarang.
- Janganlah mengeruhkan keadaan, menyebar berita dan gambar palsu. Jauh sekali merancang untuk ‘menangguk di air keruh’. Hentikanlah komen-komen dan hujatan yang didorong oleh krisis pribadi, politik, perkauman dan sebagainya. Kita semua adalah insan biasa yang banyak sekali cacat celanya. Jadikan bencana ini sebagai satu hikmah yang bakal menyatukan kita untuk kembali hidup berkerjasama dan berkasih sayang.
Senyum sahajalah melihat ramai keyboard warriors yang menuding jari ke sana sini. Ramai juga yang lantang bertanya; “kamu banyak cakap… apa kamu dah buat???
WARGA PRIHATIN
0 Komentar untuk "Kelantan : Banjir TERBURUK Dan LEBIH BURUK Berbanding Tahun 1967 Dan 1971 !!!"