Seorang lelaki bertanya Sayyiduna Ali k.h mengenai taqdir. Lalu beliau menjawab, "Taqdir itu jalan halus yang tak perlu kamu lalui."
Lelaki itu bertanya lagi, "Amirul Mukminin, beritahu saya apa itu taqdir?"
Al-Imam menjawab, "Taqdir itu lautan dalam yang tak perlu kamu selami."
Lelaki itu bertanya lagi, "Amirul Mukminin, beritahu saya apa itu taqdir?"
Beliau menjawab, "Taqdir itu rahsia Allah yang tak perlu kamu gali."
Lelaki itu terus bertanya, "Amirul Mukminin, tolong beritahu saya apa itu taqdir?"
Lantas al-Imam membalas dengan pertanyaan pula, "Allah mencipta kamu mengikut apa yang Dia mahu atau apa yang kamu mahu?"
Lelaki itu menjawab, "Mengikut apa yang Dia mahu."
Al-Imam bertanya lagi, "Allah akan membangkitkan kamu di akhirat nanti sebagaimana yang Dia mahu atau sebagaimana yang kamu mahu?"
Lelaki itu menjawab, "Seperti yang Dia mahu."
Al-Imam pun berkata, "Justeru, adakah kehendak kamu sama seperti kehendak Allah atau tanpa kehendak-Nya atau mengatasi kehendak-Nya? Kalau kamu jawab, sama seperti kehendak Allah, bererti kamu mendakwa bahawa kamu bersekutu dengan Allah dalam kehendak. Jika kamu menjawab, tanpa kehendak Allah, bererti kamu tidak memerlukan-Nya. Kalau kamu menjawab, mengatasi kehendak Allah, bermakna kamu mengalahkan-Nya."
Dan lelaki itu diam membisu tanpa pertanyaan lagi.
Ditulis Oleh Facebook Daniel Farhan Dolmat
0 Komentar untuk "Pengertian Takdir Daripada Saidina Ali K.H"