Teks Penuh Ucapan Di Majlis Konvokesyen Ke-17 Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
Ucapan
YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim
YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim
Dato' Menteri Besar Selangor
Pada
Majlis Konvokesyen Ke-17
Koleh Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
Koleh Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
Tempat
Pusat Konvensyen
Koleh Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
Bandar Baru, Bangi Selangor
Koleh Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
Bandar Baru, Bangi Selangor
Tarikh
26 Ogos 2014 (Selasa)
30 Syawal 1435 H
(SIDANG PERTAMA)
Masa
9.00 PAGI
Bismillahirrahmanirahim
Alhamdulillahirabbil Alamin, Wassalatu Wassalamuala Asrafil Ambiya Iwalmursalin Waala Alihi Wasahbihi Ajmain,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Yang Amat Dihormati Dato Setia Haji Mohammad Adzib bin Mohd Isa,
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor;
Yang Berhormat Puan Hajah Dr. Halimah Ali,
Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Pendidikan, dan Pembangunan Modal Insan;
Yang Berbahagia Profesor Madya Dato’ Dr. Ab Halim bin Tamuri,
Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor;
Yang Berbahagia Dato’ Bakhtiar bin Hussin,
Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor;
Yang Dihormati Wakil Institut Pengajian Tinggi, Timbalan-Timbalan Rektor, Pengurusan Tertinggi KUIS, Dekan-Dekan, Para Pensyarah, Ibu bapa dan Para Graduan, serta para wartawan dan tetamu sekalian.
(1) Syukur ke hadrat Allah Subhanahuwataala kerana dengan izin dan inayah-Nya kita dapat hadir menjayakan Majlis Konvokseyen Ke-17, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. Kita yang hadir di sini, di samping para ibu bapa, sanak saudara serta kenalan di serata tanah air, bersama meraikan kejayaan para graduan KUIS dalam bidang masing-masing.
(2) Kita semua menaruh harapan kepada setiap graduan KUIS agar berupaya menggunakan ilmu dan pengetahuan dalam kehidupan sebenar di luar kampus kelak, bagi faedah diri dan keluarga, bangsa dan agama, serta negeri dan negara seluruhnya.
(3) Di kesempatan ini, wajar sekali saya menyatakan penghargaan murni dan merakam ucapan syabas kepada para ibu bapa serta penjaga yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada anak masing-masing sehingga berjaya menerima diploma atau ijazah bagi faedah diri.
(4) Juga, disampaikan berbanyak-banyak terima kasih kepada para pensyarah dan warga KUIS yang berusaha bagi memastikan para graduan memiliki keterampilan memimpin, yakni sebagai khalifah di bumi, seterusnya menyumbang bagi kemaslahatan sekalian masyarakat dan negara tercinta.
Dif-Dif, Para Ibu Bapa, Para Graduan, Tuan-Tuan dan Puan;
(5) Dengan izin Allah Subhanahuwataala, KUIS kini menjangkau usia 19 tahun. Matlamat penubuhannya pada 1995, antara lain adalah sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam bagi faedah ummah dan negeri. KUIS menawarkan program-program peringkat diploma, ijazah sarjana muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah. Hal ini bertepatan dengan semangat KUIS, yang digambarkan melalui moto, “Pemangkin Tradisi Ilmu”.
(6) Kerajaan Negeri komited untuk memajukan dan pendidikan tinggi kerana usaha ini merupakan antara teras terpenting bagi pembangunan dan kemajuan negeri Selangor. Insya-Allah, KUIS, dapat melahirkan ilmuan-ilmuan Islam dalam usaha melahirkan generasi Da’i, Ulama dan Umara’.
(7) Sehubungan ini, para graduan perlu menjadi rol model dalam usaha menerapkan nilai-nilai murni yang sesuai diteladani oleh masyarakat. Rasulullah Sallallahualaihiwasallam bersabda, yang bermaksud; “Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling berfaedah kepada orang lain”.
(8) Hakikatnya, orang yang baik dapat mempengaruhi orang lain sama ada daripada segi kepemimpinannya, tunjuk ajarnya, akhlaknya, tutur katanya atau tingkah lakunya yang mendatangkan kebaikan. Jikalau, perilaku seseorang itu adalah sebaliknya, maka penampilannya mampu pula mendatangkan keburukan kepada orang lain. Oleh itu, para graduan KUIS sewajarnya berusaha menjadi contoh terbaik dan gigih berbakti kepada masyarakat agar setiap perbuatan dan perkataan menjadi teladan dan pengajaran kepada ummah.
Dif-Dif, Para Graduan dan Hadirin sekalian;
(9) Saya dimaklumkan pada Konvokesyen ke-17 ini menyaksikan seramai 1610 graduan berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang. Alhamdulillah, semasa menimba ilmu, akhirnya membuahkan hasil yang diimpikan sebagaimana yang kita saksikan hari ini. Sebagaimana saya nyatakan tadi, kejayaan ini merupakan aset kepada graduan untuk membantu masyarakat dan negara sehingga mencapai misi dan matlamatnya.
(10) Khususnya bagi manfaat KUIS pula, para graduan boleh terus menyumbang tenaga dan fikiran mahupun dana, bagi membantu pembangunan dan kemajuan kolej universiti ini, misalnya aktif dalam persatuan bekas mahasiswa KUIS, atau Alumni. Ia bermakna, melalui Alumni, pelajar yang bergelar graduan masih dapat memainkan peranan dan tanggungjawab yang diberikan kembali kepada universiti misalnya dalam hal mempertingkat kualiti, imej, pendidikan dan kebajikannya.
(11) Kerajaan Negeri Selangor optimis KUIS dapat membantu kerajaan dalam usaha menjana pembangunan kemanusiaan, yang dapat membawa keuntungan kepada semua pihak dalam jangka masa panjang. Selaras dengan gagasan ini, Kerajaan Negeri amat mengambil berat terhadap pembangunan dan kemajuan KUIS, sebagai salah sebuah pusat perkembangan dan pendidikan Islam di Selangor yang menyasarkan pembangunan insan, serta tempat lahirnya para intelek Islam bagi membantu mencapai kemaslahatan ummah.
(12) Justeru itu, Kerajaan Negeri berbesar hati meluluskan pinjaman mudah bernilai 48.5 juta kepada KUIS bertujuan melancarkan pembangunan fasiliti dan menaik taraf serta pembinaan fasiliti baharu agar memberi lebih keselesaan dan kemudahan kepada seluruh warga KUIS. Saya yakin bahawa Rektor KUIS, Yang Berbahagia Prof. Madya Dato’ Dr. Ab Halim Tamuri bersama barisan Pengurusan KUIS serta seluruh warga kerja mampu membangunkan KUIS sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam yang berteraskan moto “Pemangkin Tradisi Ilmu”.
(13) Usaha ini harus diperhalusi dan digarap dengan rapi oleh semua warga KUIS agar ia mampu memacu KUIS ke arah sebuah Universiti penuh bertaraf antarabangsa. Jaringan kerjasama akademik antara institusi-institusi dalam dan luar negara juga adalah penting dalam perkongsian maklumat demi kemajuan masa hadapan.
(14) Sehubungan ini, Kerajaan Negeri menyokong penuh penubuhan pusat zakat dan wakaf KUIS untuk membantu pelajar. Saya menyarankan agar sidang hadirin mambantu untuk meningkatkan dana zakat dan wakaf KUIS demi keselesaan dan kemudahan pendidikan para pelajar di KUIS dalam pembangunan pendidikan lebih mampan.
(15) Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya berpandangan bahawa usaha yang dicetuskan oleh Rektor KUIS menjadikan KUIS sebagai universiti penuh perlu disokong. Hal ini penting bagi memastikan negeri Selangor yang maju berpaksikan kemajuan pendidikan dan penyediaan institusi pendidikan yang dapat melahirkan Da’i, Ulama dan Umara’ demi pembangunan ummah.
(16) Saya menganjurkan agar semua warga institusi pengajian tinggi di KUIS dan di Unisel, dan rakyat Selangor seluruhnya memohon dan memanjatkan doa kepada Allah Subhanahuwataala agar usaha murni ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Dif-Dif dan Hadirin sekalian;
(17) Sekarang, izinkan saya memberi ucapan khusus kepada graduan KUIS.
Graduan yang dikasihi sekalian;
(18) Budaya ilmu sangat penting dalam proses pembangunan diri, organisasi, negara dan tamadun. Tokoh budaya dan pejuang kemerdekaan tanah air, Pendeta Za’ba atau nama penuhnya Dr. Zainal Abidin bin Ahmad (1895-1973), pernah menegaskan bahawa ilmu pengetahuan adalah asas paling penting untuk menyelamatkan manusia daripada belenggu kemunduran dan kemiskinan. Oleh itu, pendidikan dan penghayatan ilmu perlu sentiasa disematkan dalam diri setiap insan sepanjang hayat, walaupun berjaya menamatkan pelajaran.
(19) Saya percaya, sepanjang pengajian di KUIS, para graduan tentu berkesempatan menimba ilmu dan menghayati resam komuniti ilmuwan yang pastinya merangsang kreativiti, menjana inovasi, menggilap peribadi dan mengembang potensi. Demi ilmu kita mempertajamkan minda pada usia muda. Demi ilmu kita meninggalkan kesenangan dan keluarga. Dan demi ilmu kita terpaksa berhempas pulas, bersengkang mata, bahkan ramai yang terpaksa berhutang!
(20) Saya juga ingin mengingatkan para graduan akan kata-kata hikmat Imam Ghazali, bahawa “Seseorang yang ingin berjaya tetapi enggan melalui rintangannya, seumpama sebuah kapal yang belayar di padang pasir yang tandus!”
(21) Seterusnya, sebagai seorang yang terpelajar, kita seharusnya tidak melupakan kepada orang yang telah banyak membantu kita dari segi dorongan, sokongan moral, kewangan, masa, tenaga dan harta benda. Kini tibalah masanya anda membayar segala jasa-jasa dan keringat mereka terutamanya ibu bapa, serta insan yang banyak membantu anda ke tahap sekarang. Tanpa mereka, anda tidak mungkin mengecapi kejayaan sekarang. Doakanlah kesejahteraan hidup mereka dan bantulah mereka semampu boleh.
(22) Saya menyeru kepada graduan sekalian supaya memagar diri dengan benteng pertahanan yang ampuh agar tidak hanyut dek arus pembangunan. Sebagai umat Islam, kita mesti berusaha mengangkat martabat diri ke satu tahap yang lebih tinggi dan cemerlang dalam pelbagai bidang kehidupan dengan berpegang teguh pada peringatan Allah dalam Al-Quran dan suruhan dalam, Hadis-Hadis Nabi Sallalahualaihiwasallam.
(23) Bagi panduan hidup seterusnya, marilah merenung kata-kata sasterawan negara Usman Awang yang berbunyi: “Apa pun yang dihadapi dan dilalui, yang paling penting ialah ketabahan dan keberanian menghadapi tiap detik rasa yang menggores. Lebih dari itu ialah kesedaran terhadap kehidupan, bahawa hidup sekarang tidak untuk menangis dan merintih, tetapi menghadapinya secara berani dan yakin”.
(24) Justeru itu, menjadi tanggungjawab setiap graduan untuk memperbaiki kelemahan diri sendiri, beriltizam untuk berusaha dan bekerja keras demi memperbaiki kehidupan daripada kemaksiatan menuju ketentuan dan ketakwaan, daripada kemiskinan kepada kemakmuran, daripada kemunduran kepada kemajuan, daripada masyarakt yang lemah, mundur dan takut menjadi bangsa yang kuat, bertamadun dan berakhlak mulia.
Dif-Dif dan Hadirin sekalian;
(25) Usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dan KUIS adalah juga selaras dengan ajaran Islam yang menekankan keseimbangan di antara pembangunan fizikal dengan pembangunan kerohanian. Tokoh agama dan pemikir semasa yang dihormati Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi pernah mengatakan bahawa maju atau mundurnya sesebuah negara adalah bergantung pada kepemimpinan dan golongan ilmuan yang ada dalam negara berkenaan. Atas dasar inilah Kerajaan Negeri amat komited dalam usaha-usaha pembangunan insan dan perkembangan ilmu.
(26) Graduan adalah dianjurkan supaya berusaha menjadi pemimpin muslim sejati, sama ada kepada negara, masyarakat atau setidak-tidaknya menjadi pemimpin yang baik kepada keluarga. Perkara yang penting di sini adalah mempraktikkan kepimpinan yang adil, amanah, berintegriti dan menegakkan syiar Islam.
(27) Ia bermakna, seorang pemimpin, harus menjauhi sikap tamak, angkuh, khianat dan sifat-sifat mazmumah yang lain kerana ia pasti akhirnya membinasakan diri, masyarakat dan negara. Oleh itu, graduan KUIS perlu berusaha untuk menjadi pemimpin yang sentiasa merendah diri, sabar dan bijaksana agar setiap yang dilakukan dan diucapkan dapat memberi kesan positif kepada masyarakat dan negara.
(28) Izinkan saya menyematkan kata-kata nasihat petikan daripada gurindam dua belas oleh Raja Ali Haji agar dijadikan panduan dalam perjalanan hari-hari mendatang.
Hendaklah berjasa
Kepada yang sebangsa
Hendak jadi kepala
Buang perangai yang cela
Hendaklah memegang amanat
Buanglah khianat
Hendak marah
Dahulukan hujjah
Hendak dimalui
Jangan memalui
Hendak ramai
Murahkan perangai
Dif-Dif, Para Graduan, dan Hadirin yang Dikasihi Allah;
(29) Akhir kata, marilah kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahuwataala agar diberi pelindungan kepada umat Islam di Selangor dan Malaysia daripada sifat fitnah dan serakah, tamak dan kekejaman, kekacauan, bencana dan pelbagai kesusahan agar seluruh rakyat hidup dalam keharmonian dan kesaksamaan.
Sekianlah sahaja. Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
0 Komentar untuk "Ucapan Konvokesyen KUIS Ke-17 Oleh TSKI"