Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mempersoalkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakannya hanya berkecil hati apabila warga Malaysia dipinggirkan dalam isu Malaysia Airlines (MAS) tetapi tidak sensitif apabila undang-undang Allah diketepikan.
Sambil menyokong kenyataan bekas perdana menteri itu yang pelantikan Christoph R Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS Newco itu satu penghinaan terhadap rakyat Malaysia, Nik Aziz pula mendakwa sepanjang pentadbiran Dr Mahathir, beliau juga meminggirkan undang-undang Islam.
Katanya, Dr Mahathir terlambat menyedari yang sememangnya Malaysia menganggungkan Barat selama ini.
"Tun M baru sedarkah yang kita berkiblatkan Barat sekian lama dalam urusan bernegara?" soal Tuan Guru Nik Aziz kepada Mahathir di laman Facebooknya hari ini.
"Jika kita boleh kecil hati kerana warga kita diketepikan dan warga Barat diagungkan, tidak berhakkah Allah juga 'kecil hati' apabila undang-undangNya diketepikan dan undang-undang ciptaan manusia didaulatkan?
"Sayangnya, berpuluh-puluh tahun Tun M menjadi PM pun tidak diambil kesempatan untuk mendaulatkan undang-undang Allah," kata bekas menteri besar Kelantan itu.
Sabtu lepas, Dr Mahathir pertama kali mengulas mengenai pelantikan Mueller yang diumumkan Jumaat, mengatakan Putrajaya terpaksa mengambil CEO Aer Lingus itu kerana "rakyat Malaysia bodoh", tidak pandai mengurus syarikat penerbangan hingga MAS mengalami kerugian.
Mengulas lanjut pelantikan Mueller berkuat kuasa 1 Januari 2015 itu, Dr Mahathir kemudiannya menyuarakan kebimbangannya terhadap sikap tidak percaya kepada kepakaran rakyat tempatan dalam pelantikan jawatan penting.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata Malaysia mempunyai banyak bakat berkebolehan yang boleh digilap, sambil menambah, kemakmuran negara yang dikecapi selepas kemerdekaan merupakan hasil kepimpinan rakyat tempatan sendiri.
Pelantikan Mueller, yang menerajui syarikat penerbangan nasional Ireland itu sejak 2009 dan mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam sektor penerbangan, logistik dan pelancongan, mencetuskan rasa kurang senang banyak pihak termasuk pemimpin Umno sendiri.
0 Komentar untuk "Dr Mahathir kecil hati pelantikan Mueller (CEO MAS), tapi tak endah undang-undang Islam, kata Tuan Guru Nik Aziz"